AM

RM67 BILION DIPERUNTUK BAGI PENDIDIKAN DI BAWAH RMK13 – PM ANWAR

31/07/2025 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) antaranya untuk membina sekolah baharu, membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah, tadika KEMAS, fasiliti dan kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar baharu manakala pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian.

“Kerajaan tekad memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98 peratus, yakni melebihi kadar enrolmen sejagat.

“Untuk rekod sehingga 2025, kerajaan telah menaik taraf 1,200 sekolah daif di seluruh negara,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Sementara itu beliau berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan penanda aras utama pada peringkat kebangsaan akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.

Anwar berkata kualiti pendidikan negara pada masa sama akan ditingkatkan agar berada separas purata antarabangsa berdasarkan penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi memastikan sistem pendidikan kekal berdaya saing dan relevan.

“Bagi mempertingkatkan keberhasilan pendidikan, kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur lima tahun. Dalam masa yang sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus serta menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat,” katanya. 

Beliau berkata tumpuan juga akan diberikan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu di semua peringkat selain bahasa Inggeris dijadikan sebagai sebahagian bahasa pembelajaran dan perhubungan sementara pembelajaran bahasa tambahan akan turut diperluas.

“Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital,termasuk pengenalan asas AI bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan yang bernilai tinggi,” katanya. 

Beliau berkata sistem pendidikan negara juga akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan dan untuk ini, KPM akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah.

Bagi pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi, Anwar berkata ia akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan