KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan mewujudkan Angkatan Masa Hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus bagi memastikan kestabilan serta kemakmuran di samping memperkukuh keselamatan dan pertahanan negara
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keupayaan aset keselamatan dan pertahanan serta kapasiti anggota keselamatan negara akan turut diperkasa dengan teknologi termaju yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Kawalan di sempadan darat dan maritim negara akan terus diperkukuh bagi mengekang ancaman rentas sempadan, kesiapsiagaan dalam mendepani ancaman kedaulatan dan keselamatan di Laut China Selatan juga akan diperhebat dengan lebih menyeluruh,” katanya ketika membentangkan RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata dalam RMK13 juga proses keimigresenan akan dipercekap melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional yang lebih moden.
Beliau berkata pengukuhan keselamatan dan pertahanan sentiasa diberikan perhatian bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
-- BERNAMA