AM

SKIM PEMBIAYAAN PERKASA TVET, DANA LATIHAN TVET DIPERKENAL GALAK PENYERTAAN BELIA - PM ANWAR

31/07/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI dan Dana Latihan TVET bagi menggalakkan penyertaan belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penawaran program TVET juga akan turut diperluas kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal.

Beliau bekata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata kurikulum TVET juga akan diperluas merangkumi bidang penuaan dengan insentif khas kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

“Program TVET kian mendapat sambutan. Pada 2024 sahaja, sebanyak 212,000 kemasukan baharu ke dalam program TVET direkodkan. Program TVET MADANI akan diperkasakan bagi meningkatkan penguasaan kemahiran yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi, termasuk kepada pelajar tahfiz dan huffaz. 

“Pada masa sama, tahap pensijilan TVET akan ditingkatkan dengan memperkenalkan tiga tahap kepakaran baharu, enam hingga lapan, supaya setara dengan tahap kelayakan pengajian tinggi di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Ikhtiar ini bertujuan memperakui kemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan memperluas laluan kerjaya selaras dengan keperluan pasaran,” kata beliau. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lepasan TVET juga menikmati pendapatan yang semakin kompetitif, kebanyakan melebihi paras gaji minimum RM1,700.

“Sebanyak 95.6 peratus lepasan TVET berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama erat antara institusi TVET dan industri akan menjadi pemangkin kepada perkongsian pengetahuan teknologi dan peningkatan kemahiran seperti yang dilaksanakan   Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Penawaran program TVET juga akan distrategikan semula, dengan penekanan kepada sektor industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan berasaskan teknologi termaju, sejajar dengan keperluan pasaran buruh bagi menyokong keperluan industri seperti di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Dalam tempoh RMK13, Malaysia menyasarkan pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital,” kata beliau. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan