KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Akses yang saksama kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan bermutu dan mampu dibayar setiap rakyat ke arah mencapai kehidupan yang wajar, antara tumpuan reformasi kesihatan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, kerajaan menetapkan lima strategi reformasi kesihatan bagi tempoh perlaksanaan RMK13 bermula 2026 hingga 2030, iaitu reformasi pembiayaan dan tadbir urus; memperkukuh promosi dan sekuriti kesihatan; dan memperkasakan ekosistem penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Seterusnya mempertingkatkan pendigitalan pengurusan maklumat kesihatan dan memperkukuh keterjaminan ubat serta peranti perubatan.
Strategi tersebut antaranya ialah dengan memperkukuh dasar dan program promosi secara bersepadu merentas sektor bagi mewujudkan masyarakat yang celik kesihatan, selain sekuriti kesihatan dipertingkatkan untuk melindungi rakyat dan ekonomi negara daripada ancaman kesihatan.
“Sistem penggredan akan dilaksanakan melalui pelabelan mandatori pada bahagian depan bungkusan untuk mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produk makanan dan minuman.
“Selain itu, jawatankuasa penyelaras dasar peringkat tinggi dibentuk bagi menyelaras dan memantau keperluan tenaga kerja kesihatan, selain rangka kerja pembangunan profesional peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk memastikan sistem pengurusan sumber manusia yang responsif,” menurut dokumen RMK13.
Dokumen itu menyatakan rangka perundangan kesihatan juga akan diperkemas, termasuk menambah baik akta berkaitan pemindahan organ dan tisu serta menggubal rang undang-undang kapasiti mental.
Selain itu, lebih banyak hospital kluster sedia ada akan diintegrasikan dengan klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer.
Menurut dokumen itu, platform digital perkongsian maklumat kesihatan akan dibangunkan bagi membolehkan penyedia perkhidmatan kesihatan sama ada sektor awam atau swasta merentas institusi dan negeri sekali gus memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat, selain penyumberluaran sistem rekod perubatan elektronik oleh semua fasiliti kesihatan kerajaan.
Sistem regulatori farmaseutikal kebangsaan juga akan ditambah baik dan Program Dana Pembangunan dan Pengukuhan Penghasilan Vaksin Negara serta Latihan Program Vaksin dimantapkan bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan serta bakat dalam penghasilan vaksin tempatan.
Sistem pengesanan dan penjejakan produk farmaseutikal akan dibangunkan untuk memastikan pengurusan logistik farmaseutikal yang cekap, efektif, selamat, responsif dan berdaya tahan.
Kesemua strategi ini dirangka bagi mencapai empat sasaran terpilih iaitu pertama, peratusan perbelanjaan duit poket sendiri mengikut sumber pembiayaan daripada perbelanjaan kesihatan keseluruhan menurun 32 peratus pada 2030 berbanding 36 peratus (2023) dan kedua, perkhidmatan kesihatan primer mengikut kategori fasiliti daripada perbelanjaan kesihatan keseluruhan turun kepada 32 peratus (2030) berbanding 27.2 peratus (2023).
“Sasaran ketiga, kadar kematian disebabkan penyakit tidak berjangkit diturunkan kepada 18 peratus (2030) daripada 19.2 peratus (2023) dan keempat, peratusan penduduk mempunyai rekod kesihatan digital disasarkan 60 peratus bermula 2030,” menurut dokumen itu.
Menelusuri pencapaian RMK12, menyaksikan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia meningkat kepada 112.6 pada 2023 manakala hingga pertengahan 2025, perkhidmatan kardiologi di hospital awam telah diperkukuh melalui pengoperasian 24 makmal kardiologi invasif.
Selain itu, dalam tempoh 2021 hingga 2025 sejumlah RM936.86 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf, mengubah suai dan membaik pulih 2,215 klinik daif manakala RM11.95 bilion diperuntukkan untuk 255 projek menaik taraf hospital di seluruh negara.
“Perkhidmatan penjagaan kesihatan warga emas juga telah diperkukuh melalui pengintegrasian tujuh hospital dengan 20 klinik kesihatan.
“Hingga Jun 2025, sebanyak 2,485 daripada 4,042 klinik swasta yang berdaftar dengan Skim Perubatan MADANI masih aktif menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” menurut dokumen RMK13.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, antara lain menyediakan peruntukan RM40 bilion untuk melaksanakan reformasi sektor kesihatan dalam tempoh lima tahun.
-- BERNAMA