AM

RMK13: TIGA STRATEGI UTAMA AKAN DILAKSANA KUKUH KETERJAMINAN MAKANAN

31/07/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan memberi tumpuan memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui pelbagai inisiatif merangkumi pengeluaran, bekalan serta rantaian agromakanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, keupayaan pengeluaran makanan akan ditingkatkan melalui pertanian berskala besar di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak bagi memenuhi keperluan rakyat dan mengembangkan potensi pasaran antarabangsa.

“Usaha bagi meningkatkan pengeluaran padi akan terus dipergiat melalui program yang dilaksanakan secara kerjasama awam swasta, termasuk di kawasan Muda, Kedah dan Perlis. Program ini merangkumi pembangunan infrastruktur yang menyeluruh, termasuk penambahbaikan sistem pengairan dan saliran serta penggunaan pertanian pintar,” menurut dokumen itu.

Ia turut menyatakan bahawa Inisiatif Pendapatan Rakyat akan diperkasakan melalui penambahbaikan model pelaksanaan, mempelbagaikan aktiviti pertanian dan meningkatkan penggunaan tanah terbiar, di samping mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&P&I).

“Penggunaan tanaman kurang dimanfaatkan, seperti ubi, kekacang dan tumbuhan tinggi protein sebagai sumber makanan alternatif akan diteroka dengan menggalakkan lebih banyak aktiviti R&D&I,” menurut dokumen itu.

Selain itu, beberapa program utama termasuk Pemerkasaan Agromakanan Negara, Agropreneur Nextgen dan Pengganda30 akan diteruskan dengan penyertaan lebih ramai agropreneur muda dengan kerjasama dengan pihak industri serta pertubuhan masyarakat sivil akan turut diperkukuh bagi mengurangkan pembaziran makanan serta mempromosi konsep sifar sisa.

Bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, dasar kepelbagaian sumber import akan ditambah baik bagi mengurangkan kebergantungan kepada beberapa negara pengeksport utama selain proses kemasukan bekalan makanan merangkumi permit import, pensijilan dan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk negara juga akan diperkukuh.

“Proses kemasukan bekalan makanan, merangkumi permit import, pensijilan dan pemeriksaan di pintu masuk negara akan diperkukuh bagi menangani risiko keselamatan makanan,” menurut dokumen itu.

Langkah lain termasuk menangani isu kehilangan pascatuai, memperkasa penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada serta memperkenalkan skim perlindungan bencana pertanian secara bersasar melalui kerjasama dengan sektor insurans swasta.

Dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan, kerajaan akan menaik taraf infrastruktur pemasaran termasuk pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian, dengan kerjasama sektor swasta. Peruncit kecil dan sederhana juga akan diperkasa untuk terlibat dalam hab pemasaran agromakanan.

“Ketersediaan infrastruktur pemasaran yang merangkumi pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan, pengedaran serta kemudahan logistik dan perkhidmatan digital akan dipertingkatkan melalui kolaborasi dengan sektor swasta,” menurut dokumen itu.

Sistem repositori harga dan bekalan secara masa nyata akan dibangunkan bagi memastikan ketelusan harga, manakala penguatkuasaan undang-undang berkaitan harga dan persaingan akan dipertingkat bagi membendung manipulasi pasaran.

Selain itu, sebanyak 11 sasaran terpilih ditetapkan bagi mengukuhkan keterjaminan makanan negara menjelang 2030, meliputi kadar sara diri dan sumbangan nilai tambah subsektor agromakanan.

Antara sasaran kadar sara diri termasuk beras (80 peratus), sayur-sayuran (79 peratus), buah-buahan (83 peratus), daging lembu dan kerbau (50 peratus), ayam dan itik (140 peratus), telur ayam dan itik (123 peratus), serta perikanan (98 peratus).

Mengenai sumbangan nilai tambah, subsektor sayur-sayuran disasarkan meningkat daripada RM19.4 bilion kepada RM21.8 bilion, perikanan daripada RM11.8 bilion kepada RM14 bilion, ternakan daripada RM17.4 bilion kepada RM19.7 bilion, dan padi daripada RM2 bilion kepada RM2.5 bilion menjelang 2030.

Sementara itu, sepanjang tempoh RMK12, subsektor agromakanan kekal sebagai penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian, merangkumi 53.3 peratus pada 2024.

Menurut dokumen itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan Negara pada 2025.

Antara kejayaan termasuk Program Gelombang Padi dan Penanaman Padi Lima Musim yang berjaya meningkatkan hasil padi kepada 5.0 tan metrik sehektar.

“Seramai 815 orang usahawan pemula telah menerima manfaat daripada Program Daya Maju Usahawan Geran Agropreneur Muda pada 2024. Sehingga April 2025, sebanyak 7,295 Program Jualan Agro MADANI telah dianjurkan dengan bilangan pengunjung seramai 4.28 juta orang.

“Selain itu, Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia yang bertanggungjawab mengawal selia dan penguatkuasaan menyeluruh di sepanjang rantaian nilai subsector agromakanan negara telah ditubuhkan pada tahun 2025,” menurut dokumen tersebut.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dengan sejumlah RM611 bilion pelaburan diperlukan bagi memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

-- BERNAMA


 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan