BANGI, 31 Julai (Bernama) -- Olimpiad Sains Nuklear Antarabangsa (INSO) 2025 yang diadakan di PERMATA@Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama lapan hari bermula semalam, membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh pendidikan nuklear dan melahirkan generasi muda berbakat dalam bidang berkenaan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor berkata INSO 2025 bukan sekadar pertandingan tetapi juga platform untuk menyatukan pemikiran daripada pelbagai latar belakang dalam menangani cabaran besar kemanusiaan.
“Sebagai universiti penyelidikan utama, UKM berbangga dengan sumbangannya dalam bidang sains nuklear melalui program penyelidikan berteknologi tinggi, membina kerjasama strategik dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Majlis Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) dan rangkaian ASEAN ,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian INSO 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM Dr Faizal Mohamed.
Edisi kedua INSO itu dianjurkan oleh UKM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan IAEA.
Acara berkenaan menghimpunkan kira-kira 80 delegasi, termasuk 55 pelajar dari 14 negara seperti Jepun, Filipina, Jordan, Arab Saudi dan Singapura, bagi meraikan pencapaian saintifik dan kerjasama rentas budaya.
Tema tahun ini, ‘Memacu Cita-Cita, Meraikan Kecemerlangan’, mencerminkan komitmen Malaysia terhadap usaha mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang sains di peringkat global dan mempromosikan penggunaan teknologi nuklear secara aman.
Sementara itu, Mohammad Yusof berkata di Malaysia, sains nuklear memberi sumbangan besar kepada pembangunan, daripada pengimejan perubatan dan rawatan kanser melalui perubatan nuklear hingga kepada keselamatan makanan melalui teknologi penyinaran.
“Selain meningkatkan produktiviti pertanian dan memastikan pemantauan alam sekitar, teknologi nuklear mempunyai kaitan dalam usaha kita mencapai kualiti hidup yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata institusi seperti Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom, universiti dan badan kawal selia lain telah bekerjasama mempromosikan penyelidikan, latihan dan kesedaran awam, dengan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan kelestarian.
Mengenai INSO 2025, Mohammad Yusof berkata penganjuran kali kedua selepas kejayaan julung kali diadakan di Filipina tahun lepas, merupakan komitmen berterusan untuk memupuk bakat saintifik muda.
“Olimpiad ini menghimpunkan minda-minda cemerlang dari seluruh dunia sebagai generasi saintis, jurutera dan pemimpin akan datang dalam teknologi nuklear. Acara ini bukan sekadar pertandingan tetapi platform untuk kerjasama, pembelajaran dan membina jambatan penghubung antara negara melalui sains.
Empat peserta yang mewakili Malaysia pada INSO kali ini merupakan antara 500 individu berumur 20 tahun ke bawah dari seluruh negara yang telah menjalani latihan intensif selama tiga bulan.
-- BERNAMA