Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus berkembang sebagai negara maju mengikut takrifan dan nilai tersendiri, mengamalkan sistem pasaran bebas, menjadi destinasi utama pelaburan global dan menerajui pasaran serantau pada 2040.
Menurut laporan Rancangan Malaysia ke-13 bagi tempoh 2026-2030 yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan, kejayaan itu adalah hasil daripada peralihan kepada ekonomi yang lebih rencam yang membolehkan pengeluaran produk bernilai tinggi di sepanjang rantaian nilai global.
"Peralihan ini juga memberi peluang yang saksama kepada bakat tempatan berkemahiran untuk terus meningkatkan produktiviti yang dihargai dengan gaji progresif," menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini.
Laporan itu juga menambah industri, di Malaysia yang dikenali sebagai pengeluar teknologi termaju yang dicipta menerusi penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) oleh rakyat tempatan.
Kerajaan menjadi pemudah cara yang responsif dalam memperkukuh ekosistem ekonomi membolehkan semua ejen ekonomi memainkan peranan masing-masing secara cekap dan berkesan, jelasnya.
Di samping itu, kerajaan juga menetapkan dasar dan hala tuju strategik yang jelas, konsisten dan sesuai bagi membolehkan semua pihak membuat keputusan yang tepat dan selari dengan visi pembangunan ekonomi negara.
"Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan ketersediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh, bersepadu dan berkualiti bagi memenuhi keperluan perniagaan, masyarakat dan rakyat dalam menjalankan aktiviti ekonomi," menurut laporan yang merangkumi strategi lima tahun itu.
Selain itu, sokongan kerajaan seperti pembiayaan, insentif dan program bersasar sentiasa ditambah baik bagi menjamin keterangkuman dan menumpukan ketempangan yang wujud dalam ekonomi.
Di samping itu, syarikat di Malaysia sentiasa meningkatkan kapasiti dan keupayaan untuk memperhebat kelebihan daya saing dalam pasaran global serta berani menceburi industri baharu yang berpotensi.
"Syarikat juga aktif berkolaborasi dengan institusi penyelidikan dan pelabur untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan disruptif dalam mencipta nilai yang memberi pulangan yang tinggi.
"Majikan pula menyediakan gaji progresif dan adil, mewujudkan persekitaran dan aturan kerja yang mesra pekerja serta melabur awal dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat dan kemahiran secara berterusan bagi meningkatkan produktiviti pekerja," menurut laporan itu.
Individu dan masyarakat pula berperanan penting dalam mewujudkan ekonomi yang terangkum dengan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan memakmurkan perniagaan tempatan.
Individu menjadi modal insan yang kalis cabaran masa hadapan dan sentiasa berusaha untuk menyumbang tenaga dan kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang, menurut laporan itu.
Di samping itu, individu dengan minda strategik, sentiasa mencari dan mencipta peluang melalui keusahawanan untuk menjana nilai, pendapatan dan kekayaan.
"Masyarakat bertindak sebagai ejen perubahan dengan memikul tanggungjawab bersama dalam memupuk budaya inovasi dan menyokong aktiviti ekonomi tempatan," menurut laporan itu.
-- BERNAMA