KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerima notis taksiran tambahan berjumlah RM609.03 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi tahun taksiran 2023.
Syarikat utiliti itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata notis tersebut dikeluarkan pada 30 Julai 2025.
“Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai notis serupa yang dikeluarkan kepada TNB untuk tahun taksiran 2018, TNB kini sedang menilai pilihan undang-undangnya yang ada untuk menangani notis taksiran tambahan ini,” kata syarikat itu.
Syarikat itu berkata penilaian tersebut juga mempertimbangkan hakikat bahawa TNB telahpun memohon elaun pelaburan di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967, yang termasuk tuntutan untuk tahun taksiran 2023.
-- BERNAMA