EKONOMI

PARAMOUNT BELI TANAH PEGANGAN KEKAL DI PULAU PINANG BERHARGA RM57.84 JUTA

31/07/2025 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Paramount Corporation Bhd (Paramount) telah memeterai perjanjian jual beli untuk membeli tanah pegangan kekal seluas 7.67 hektar di Bandar Cassia, Pulau Pinang berjumlah RM57.84 juta daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Pemaju hartanah itu berkata pembelian tersebut menandakan penambahan penting kepada simpanan tanahnya untuk memacu pertumbuhan mampan di wilayah utara dan akan digunakan untuk pembangunan bercampur baharu.

Dalam satu kenyataan, Paramount berkata pengambilalihan itu dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM744 juta dan menambah baki simpanan tanah Paramount seluas 145.24 hektar dan baki GDV sebanyak RM5.49 juta.

Beliau berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

“Tanah yang baru diperoleh itu terletak di pusat bandar Bandar Cassia di Pulau Pinang, iaitu dalam radius 600 meter dari pembangunan Utropolis Batu Kawan.

“Dengan akses menerusi Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi (sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Bandar Cassia) dan ekosistem masyarakat yang berkembang pesat telah tersedia, pembangunan baharu ini bakal melengkapkan landskap sedia ada dengan menyediakan pelbagai jenis kediaman serta peluang perniagaan yang berkualiti,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Jeffrey Chew berkata pengambilalihan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan jangka panjangnya.

“Rekod prestasi kami di wilayah ini telah menunjukkan bagaimana pembangunan bersepadu berjaya mengubah ekonomi tempatan dan meningkatkan komuniti. 

“Kami teruja untuk membina momentum ini dengan pembangunan baharu dalam perbandaran matang Bandar Cassia yang akan membuka lembaran seterusnya dalam visi kami untuk Pulau Pinang,” katanya.

Paramount berkata cadangan pembangunan itu merangkumi pangsapuri servis, rumah bandar berkembar dan pejabat kedai.

Pembinaan dijadualkan bermula pada 2027 dengan jangkaan siap menjelang 2033.

“Apabila siap sepenuhnya, pembangunan itu akan menyediakan pilihan perumahan serta mewujudkan persekitaran komersial yang rancak, sekali gus meningkatkan kebolehhunian dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan