Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad & Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dirangka berasaskan objektif teras kerangka Ekonomi MADANI sambil mengekalkan fleksibiliti bagi mengharungi ketidaktentuan di dalam dan luar negara sepanjang lima tahun akan datang, kata seorang ahli ekonomi.
Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, skop RMK13 lebih luas berbanding RMK12 sekali gus mencerminkan keperluan negara untuk kekal berdaya saing dan mampan.
Katanya, tumpuan yang lebih meluas amat diperlukan berikutan Malaysia tidak boleh bergantung kepada satu laluan sahaja selain kepelbagaian strategi penting bagi memastikan daya tahan dalam mendepani cabaran global dan tempatan.
“Sesetengah sasaran realistik manakala ada yang agak bercita-cita tinggi, namun sistem pemantauan kerajaan akan memastikan sebarang penglibatan dapat dilakukan secara tepat pada masanya dan teratur,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ahli ekonomi Profesor Geoffrey Williams berkata sumbangan ekonomi keseluruhan seiring dengan perbelanjaan pembangunan biasa.
Beliau berkata perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan akan kekal pada RM86 bilion setahun seperti biasa.
“Perbelanjaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sama seperti program GEAR-uP dan RM12 bilion setahun bagi kerjasama awam-swasta (PPP) yang seiring dengan perbelanjaan biasa.
“Amat penting bagi mengamalkan tadbir urus yang baik dalam memastikan perbelanjaan yang cekap serta berkesan selain mengurangkan pembaziran, ketirisan dan rasuah. Ini akan menjadikan perbezaan utama pendekatan MADANI berbanding pentadbiran sebelum ini,” katanya.
RMK13 yang menyasarkan untuk memacu pertumbuhan mampan berdasarkan penciptaan nilai dalam semua sektor akan melibatkan pelaburan sebanyak RM611 bilion bagi memastikan kejayaan pelan lima tahun ini dengan RM430 bilion diperuntukkan untuk pembangunan oleh kerajaan.
Pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan GLIC akan berjumlah RM120 bilion bagi menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung domestik dalam sektor strategik manakala melalui kaedah PPP, sokongan daripada sektor swasta berjumlah RM61 bilion.
Beliau berkata daripada peruntukan RM430 bilion itu, lebih separuh iaitu RM227 bilion akan disalurkan ke sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.
Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd melihat RMK13 sebagai pelan strategik yang mengutamakan pemulihan fiskal sambil memacu pertumbuhan melalui sektor semikonduktor, kecerdasan buatan, tenaga bersih, industri halal dan elemen nadir bumi.
Bank pelaburan itu berkata seiring dengan rangka kerja Ekonomi MADANI dan pelan induk nasional utama, rancangan itu bertujuan meningkatkan daya saing dan keterangkuman Malaysia sambil memacu ekonomi yang berdaya tahan selain berasaskan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, CIMB Investment Bank berkata jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RMK13 sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus setahun boleh dicapai memandangkan ekonomi Malaysia berkembang pada purata 5.2 peratus sepanjang 2021-2024, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh.
Ia berkata RMK-13 menetapkan pelan hala tuju yang jelas untuk perubahan struktur dan disiplin fiskal dalam tempoh lima tahun akan datang dengan sasaran pertumbuhan realistik, disokong oleh penggunaan swasta kukuh serta pelaburan yang disasarkan.
“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran KDNK 2025 pada 4.3 peratus selain menjangkakan kadar dasar semalaman kekal pada 2.75 peratus sehingga penghujung tahun,” katanya.
Kadar tarif baharu Malaysia dengan AS iaitu daripada kadar semasa 25 peratus dijangka diumumkan tidak lama lagi dan Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan pada 10 Okt, 2025.
-- BERNAMA