AM

SULTAN SELANGOR ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA WIRA NEGARA

31/07/2025 09:18 PM

SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Rakyat perlu mengenang dan menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang berjuang serta menggadai nyawa mempertahankan agama, bangsa dan negara, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office sempena sambutan Hari Pahlawan hari ini, baginda bertitah jasa dan bakti para perwira akan terus dikenang dan menjadi obor penyuluh semangat patriotisme dalam sanubari setiap rakyat negara ini.

"Beta berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Pahlawan kepada sekalian perwira tanah air yang telah berbakti dengan penuh setia dan keberanian.

"Beta amat menghargai segala pengorbanan, keringat dan kecekalan yang telah dicurahkan oleh para perajurit negara dalam menegakkan keamanan serta mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut mendoakan semoga Allah SWT mengangkat roh para syuhada yang telah gugur di medan perjuangan dan mengurniakan kekuatan kepada perajurit yang masih bertugas.

"Rakyat seharusnya mengenang pengorbanan mereka yang telah berjuang di jalan kebenaran, menggadai nyawa demi mempertahankan amanah Ilahi, iaitu tanah air, agama dan maruah bangsa,” titah baginda.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi menghargai jasa anggota keselamatan yang berkorban untuk negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan