JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI KHAYAL DADAH HULUR KAKI BAWAH LORI AKAN DIDAKWA

31/07/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah yang menghulurkan kakinya ketika sebuah lori bergerak di lampu isyarat di Jalan Pekan Bangi Lama semalam bakal berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Kajang Naazron Abdul Yusof berkata lelaki berusia 43 tahun itu bukan hanya kesakitan akibat digilis tayar lori tetapi juga akan didakwa kerana membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain.

“Dalam kejadian pada 10.45 pagi itu, pengadu memaklumkan sedang memandu sebuah lori melalui jalan berkenaan sebelum suspek yang ketika itu berada di tepi jalan bersama sebuah motosikal miliknya telah bertindak menghulurkan kakinya di bahagian tayar sebelah kanan belakang kenderaan tersebut.

“Apabila pengadu turun untuk buat pemeriksaan, didapati individu itu berada dalam keadaan khayal. Perbuatan lelaki itu dirakam kamera papan pemuka pengadu sebelum pengadu bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis pada 4.48 petang hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata hasil semakan mendapati suspek memiliki 19 rekod kes dadah dan dua kes jenayah lampau.

Katanya kelaki itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan kini berada di hospital untuk rawatan lanjut kerana masih berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan tangkapan akan dilakukan selepas prosedur rawatan terhadapnya selesai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tiga bulan penjara atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475.

Terdahulu, tular video insiden tersebut berdurasi satu minit 15 saat yang memaparkan seorang lelaki secara tiba-tiba menghulurkan kakinya ke arah lori yang sedang bergerak dan dia kemudian dilihat mengerang kesakitan sambil memegang kakinya sebelum dibantu pengguna jalan raya yang lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan