KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Malam Mega Selawat bersempena Program Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang disertai lebih 1,500 pengunjung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam ini.
Ahmad Zahid yang tiba kira-kira 9 malam diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Besar Felda Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman serta Ketua Peneroka Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Program anjuran Waqaf Felda itu dimulakan dengan bacaan doa sebelum disusuli alunan qasidah dan selawat oleh barisan artis termasuk Datuk Nash, Khai Bahar, Ezad Lazim, Kumpulan INTEAM, Lah Ahmad dan Azan Addin selain sesi tausiyah.
Malam Mega Selawat adalah sebahagian daripada penganjuran MK3D yang menggabungkan tiga inisiatif utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Hari Peneroka Felda dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
MK3D julung kali diadakan bermula semalam (30 Julai) hingga Ahad ini yang bukan sahaja mengoptimumkan sumber dan mengelak pertindihan program tetapi juga menjimatkan kos kerajaan serta memberi pengalaman menyeluruh kepada pengunjung dan pelabur.
Pada program itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meluncurkan Takaful Berkat Afiat bagi memperkukuh kebajikan komuniti Felda.
Beliau juga menyaksikan penyerahan zakat perniagaan lima anak syarikat Felda kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Kuala Lumpur (MAIWP) bagi tahun 2025 untuk diagihkan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan merangkumi program Yasin bulanan di masjid-masjid dan juga Ziarah Kasih Asnaf di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih.
Lima anak syarikat itu ialah Koperasi Permodalan Felda (KPF), Koperasi Generasi Feld Baharu (KGFB), Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP), Koperasi Pekerja Felda Malaysia Berhad (KOGUNA) dan FGV Holdings Bhd (FGV).
Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian penyerahan dua van jenazah FGV kepada wakil Felda Triang 1 Wilayah Mempaga dan Felda Sungai Rentang Wilayah Jengka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan karnival itu pada Sabtu petang.
-- BERNAMA