JOHOR BAHRU, 1 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian seorang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah pada tubuh mangsa berusia 22 tahun itu dan pihaknya masih menunggu keputusan makmal untuk punca kematian.
Beliau berkata polis menerima laporan mengenai insiden itu pada 5.33 petang, 28 Julai lepas dan hasil siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan ketika menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, PULADA, kira-kira 2.30 petang hari yang sama.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh pegawai perubatan Rejimen Semboyan Angkatan Tentera (RSAT) namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan disiasat Ketua Polis Balai Kota Tinggi ASP Abd Rahim Idris,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan seorang wanita membuat laporan polis selepas jenazah anaknya Syamsul Haris Shamsudin ditemukan dengan kesan lebam yang teruk.
Yusof berkata siasatan lanjut dan menyeluruh sedang dijalankan termasuk merakam percakapan saksi serta pegawai perubatan terlibat bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu sementara menunggu hasil siasatan lengkap.
Sementara itu, UTM dalam kenyataan berasingan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Syamsul Haris dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta sedia memberikan kerjasama penuh.
"Pihak universiti telah menghubungi waris Allahyarham dan bersedia menyalurkan segala bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan.
"Kita sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan dan sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," menurut UTM.
-- BERNAMA