KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penganggur kerana membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mayatnya dibuang di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi, enam tahun lepas.
Hakim Evawani Farisyta Mohammad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramlan Abdul Rashid, 44, selepas didapati bersalah membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah di kuarters hospital di Langkawi antara 9 pagi dan 10 pagi, 23 Feb 2019, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Evawani Farisyta, dalam penghakimannya yang disiarkan semalam (31 Julai) menerusi laman web mahkamah berkata kematian kanak-kanak itu disebabkan kecederaan akibat dipukul dan didera oleh lelaki itu secara berpanjangan.
“Tertuduh tidak mempunyai perikemanusiaan hingga sanggup membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi tanpa diuruskan secara sepatutnya berdasarkan tuntutan agama.
“Mahkamah juga mendapati bahawa tertuduh tidak menunjukkan rasa kesal mahupun insaf sepanjang perbicaraan dijalankan,” kata hakim itu.
Beliau berkata terdapat keterangan daripada ahli kimia yang mengesahkan bahawa tengkorak dan dua batang gigi yang ditemukan di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi adalah milik anak kandung kepada pengadu yang juga ibu mangsa.
Evawani Farisyta berkata mahkamah mendapati kesalahan dilakukan Ramlan merupakan kesalahan yang berat dan sangat serius.
“Si mati merupakan seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa, yang diletakkan dalam jagaan tertuduh dan dia sepatutnya dilindungi tertuduh sebagai seorang lelaki dewasa,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada November 2018, ibu mangsa bersama anak perempuannya (si mati) mengikut Ramlan ke kuarters yang didiami bersama isterinya yang bekerja sebagai jururawat dan menetap di situ selama kira-kira dua bulan.
Sepanjang dua bulan berkenaan, ibu mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan berulang-alik dari kuarters tersebut ke tempat kerja, manakala anaknya diletakkan di bawah jagaan lelaki itu.
Bagaimanapun, pada Januari 2019, Ramlan telah menghantar pengadu untuk tinggal di hostel tempat pengadu bekerja dan mangsa pula tinggal bersama lelaki itu di kuarters.
Ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menemukan anak perempuannya ketika melawat rumah Ramlan pada Februari 2019.
Lelaki itu juga memberi alasan mangsa telah diserahkan kepada orang lain, untuk dijaga namun enggan memberitahu siapa atau di mana anaknya menetap.
Susulan daripada soal siasat yang telah dijalankan terhadap Ramlan, pihak polis menemukan tengkorak dan dua batang gigi si mati di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi pada Mac 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil manakala lelaki itu diwakili peguam Ai Cha Ran.
-- BERNAMA