MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Pengenalan Skim Pembiayaan Perkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani dan Dana Latihan TVET dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada belia khususnya dalam golongan B40 dan M40.
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata skim pembiayaan itu bukan sahaja menampung yuran latihan malah turut merangkumi kos sara hidup sekali gus membantu belia luar bandar menyertai program TVET tanpa kekangan kewangan.
"Pelaksanaan Dana Latihan TVET yang berpaksikan kerjasama strategik bersama industri turut memastikan peserta menerima latihan khusus yang relevan dengan keperluan pasaran semasa.
“Latihan kini lebih tertumpu kepada sektor berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik (EV), automasi, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Massila berkata pendekatan kerajaan dalam memperluas akses TVET ke kawasan pedalaman menerusi program TVET bergerak dan penubuhan pusat latihan satelit turut memberikan manfaat kepada komuniti di kampung, pulau dan kawasan Orang Asli.
“Ini membuktikan tiada golongan akan dipinggirkan daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata RMK13 turut memperkenalkan peluang latihan kemahiran kepada pelajar tahfiz sekali gus membentuk golongan huffaz yang berkemahiran teknikal dan keusahawanan, selari dengan keperluan tenaga kerja masa kini.
Mengenai pelaksanaan program sedia ada, beliau berkata UTeM sebagai sebahagian daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kekal komited melahirkan graduan TVET bertaraf dunia menerusi pelbagai inisiatif seperti JELITA, TVET Place & Train dan PUTEK.
“Program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) misalnya, berjaya melatih lebih 3,000 peserta wanita dari empat zon utama termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan pendedahan kepada pensijilan teknikal dan temu duga bersama syarikat multinasional,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan data semasa, lebih 80 peratus peserta Place & Train berjaya diserap ke dalam pasaran kerja sebaik tamat latihan termasuk dalam sektor strategik seperti automasi dan semikonduktor.
Katanya inisiatif lain seperti pembangunan kedai niaga kampus, program pasar malam UTeM dan program PUTEK (Pembangunan Usahawan Teknikal) turut menggalakkan semangat keusahawanan teknikal dalam kalangan mahasiswa.
“Melalui PUTEK, graduan berpeluang mendapatkan padanan geran pembiayaan 60:40 untuk memulakan perniagaan teknikal termasuk dalam bidang pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Massila berkata kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah RMK13 akan lebih berkesan sekiranya mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak.
“Perjuangan ini tidak boleh dipikul kerajaan sahaja, kerjasama industri, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti amat penting agar tiada seorang pun anak muda tercicir daripada peluang membina masa depan melalui TVET,” katanya.
-- BERNAMA