KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor Red Giants (SRG.OG), Michael Angelo Boccado yang lebih dikenali sebagai Arcadia mengakui kehilangan momentum dalam perlawanan kedua, menjadi punca utama kekalahan 1-4 pasukannya kepada Team Liquid PH, pada perlawanan akhir kejohanan Mid Season Cup (MSC) 2025 semalam.
Arcadia berkata pasukannya bermula dengan cemerlang dalam perlawanan pertama, namun keadaan mula berubah dalam perlawanan kedua dan ketiga, walaupun mereka mendahului pada awal permainan sebelum momentum beralih kepada pihak lawan.
“Dalam perlawanan pertama, saya rasa kami benar-benar bermain dengan baik dan berjaya melaksanakan strategi seperti yang dirancang. Ia merupakan permulaan yang baik buat kami.
“Tetapi dalam perlawanan kedua, saya rasa terdapat titik perubahan yang besar, kami sedang mendahului tetapi kemudian hilang momentum. Perkara yang sama juga berlaku dalam perlawanan berikutnya dan ia memberi kesan kepada rentak keseluruhan siri,” katanya kepada media selepas perlawanan akhir semalam.
Sementara itu, pengasas bersama SRG.OG, Simon Lim tetap berbangga dengan persembahan yang dipamerkan pasukannya meskipun gagal mempertahankan kejuaraan pada edisi kali ini.
Beliau mengakui bahawa perjalanan SRG.OG dalam kempen MSC 2025 bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi pasukan terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya melangkah ke pentas grand final.
“Kekalahan hari ini bukan bermaksud SRG.OG tidak kuat tetapi kita kalah kepada pasukan yang lebih hebat. Saya percaya kami masih lagi kuat dan selepas ini kita akan duduk bersama dan kaji punca kita kalah dan akan kembali dengan lebih kuat,” katanya.
-- BERNAMA