FOKUS BERNAMA

MENELUSURI SUNGAI, MENJELAJAH GUA: DI SEBALIK KEINDAHAN MULU DAN KEHIDUPAN DI PEDALAMAN

04/08/2025 09:58 AM


From Rozlin Rusharmeen Rosmin

Deruan enjin bot bersulam percikan air sungai yang cetek, menemani perjalanan penulis menelusuri Sungai Melinau dari jeti Taman Negara Mulu, Miri ke Long Litut, iaitu pintu masuk ke laluan hutan menuju Gunung Api atau Pinnacle Mulu, perjalanan sejauh kira-kira lima kilometer. 

Sungai satu-satunya jalan menghubungkan Long Litut dengan dunia luar. Malah, kebanyakan lokasi di Taman Negara Mulu ini hanya boleh diakses menerusi perahu yang menjadi nadi kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman itu.  

Sesekali kelancaran perahu membelah permukaan sungai terganggu dek kecetekan air, mendedahkan batu-batan besar di dasar. Ketika ini tenaga pengemudi di depan perahu dituntut. Berkasut getah bagi menguatkan cengkaman kaki, si pengemudi menujah dasar sungai menggunakan sebatang kayu panjang sebelum menolak ke depan perahu yang sarat barangan dan penumpang.

Di belakang, pengemudi enjin mengawal kemudi agar perahu tidak terlanggar batu-batu besar yang memenuhi laluan.

Bagi yang tidak biasa, pengalaman itu mungkin mendebarkan, namun demikianlah rutin harian penduduk di sekitar Taman Negara Mulu - kawasan seluas 85,671 hektar yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2000.

 

BOT, PERAHU NADI PENGANGKUTAN KOMUNITI PENAN DAN BERAWAN

Berkongsi cerita, Donny Andrew, 45, yang mengemudi bot kami, berkata perahu bukan sekadar alat pengangkutan tetapi nadi ekonomi dan sosial masyarakat di situ. 

Berketurunan Kelabit dan telah menetap di  petempatan Long Iman (didiami orang Penan) sejak berusia 19 tahun, menyusuli perkahwinannya dengan seorang wanita Penan, bapa kepada tiga cahaya mata ini bekerja sebagai pemandu perahu Taman Negara Mulu untuk enam hari dalam sebulan.

pic-2

“Jadi, (di hari-hari lain sekiranya tidak bertugas sebagai pemandu perahu taman negara) adakalanya kita juga ambil tawaran kerja daripada agensi luar, contohnya hantar pelajar dari SK (Sekolah Kebangsaan) Batu Bungan atau SMK Long Panai (Sekolah Menengah Kebangsaan Tutuh Apoh) ke asrama sebab hendak ke sekolah memang perlu naik bot.

“Kalau air deras dan musim bukan kemarau, perjalanan dari jeti taman negara ke Long Litut hanya 30 minit tetapi kalau cuaca terik macam sekarang, memang perlu tarik bot dan ambil masa sekurang-kurangnya satu jam," katanya sambil membetul-betulkan kedudukan  enjin bot kecilnya.

Ketika ini terdapat 30 orang pemandu bot sepenuh masa di Taman Negara Mulu manakala lebih 40 orang lagi bekerja secara sambilan.

Donny kini melatih anak sulungnya Steve, 23, untuk meneruskan tradisi itu. Sewaktu bot hampir tersangkut di dasar sungai, kedengaran arahan lantangnya dalam bahasa Penan, “Menat alut (Tarik bot)!” kepada si anak agar menarik perahu keluar dari kawasan berbatu.

Menurut Donny, cabaran utama ialah ketika musim kemarau berpanjangan apabila paras air sungai terlalu cetek dan perahu mudah tersangkut, menjadikan sesetengah kawasan sukar diakses.

Pengangkutan air bukan sekadar pelengkap ekopelancongan, tetapi penyambung hubungan antara komuniti tempatan yang majoritinya etnik Penan dan Berawan, dengan dunia luar.

 

KRAF PENAN, WARISAN YANG MENGHIDUPKAN KOMUNITI

Dalam perjalanan menuju Long Litut, penulis singgah sebentar di Pasar Kraf Tangan Mulu di Kampung Batu Bungan yang digerakkan oleh komuniti Penan yang terkenal dengan hasil kraf tangan tradisional.

Di bawah reruai beratap zink, wanita-wanita Penan tekun menganyam rotan dan menyusun hasil kraf mereka seperti bukui (beg rotan tradisional), sumpit, bakul dan aksesori diperbuat daripada manik untuk dijual kepada pelancong yang datang dari serata dunia.

Menurut pengusaha kraf tangan Julie Nyeling, 46, hasil kraf penduduk di situ turut dipasarkan di luar Sarawak, khususnya Kuala Lumpur, sekiranya ada program atau festival jualan kraf tangan. 

pic-3

“Kami jual setiap hari dan paling ramai pelancong ialah sewaktu cuti sekolah… Kadang-kadang kami menerima tempahan dari Miri. Anggaran pendapatan sebulan lebih kurang RM800,” katanya yang turut mengakui minat dalam kalangan generasi muda terhadap kraf tangan tradisional semakin merosot.

Kakaknya Jabung Nyeling, 50, yang sudah berpuluh tahun menghasilkan kraf tangan, berkata pembuatan beg anyaman rotan memakan masa hampir sebulan untuk disiapkan, mengikut rekaan dan saiz.

Bukan mudah untuk menghasilkan kraf yang berkualiti, apatah lagi jika mahu mengekalkan teknik pewarnaan tradisional tanpa menggunakan sebarang pewarna tiruan, ujarnya.

“Rotan ni kena tanam dulu dalam tanah, biasanya satu hari atau semalaman, baru boleh bertukar jadi hitam. Itu cara untuk hasilkan pewarna asli… tak pakai bahan kimia.

“Kalau tak tanam, warna tak naik. Kalau pakai pewarna biasa, macam warna merah dan sebagainya, nanti cepat hilang bila kena air tetapi warna hitam ini... ia akan kekal,” katanya dan menjelaskan proses itu bukan sahaja memerlukan kesabaran tinggi tetapi juga ruang serta cuaca yang sesuai.

 

GUA-GUA BERGEMA

Taman Negara Mulu bukan sekadar kompleks gua, tetapi sebuah sistem geologi hidup. Di bawah permukaan tanah, terbentang jaringan gua batu kapur menakjubkan  seperti Gua Rusa, Gua Lang dan Gua Air Jernih, dengan masing-masing mempunyai daya tarikan serta cabaran tersendiri.

Bagi pemandu pelancong tempatan Jason Lau Siew Hui, 43, yang telah berkecimpung dalam bidang itu selama hampir dua dekad, keistimewaan Mulu tidak hanya terletak pada guanya.

pic-4

"Mulu memang terkenal dengan pembentukan batu kapur yang menakjubkan, sistem gua yang luas dan kepelbagaian biodiversiti.

“Anggaran biodiversiti taman negara ini antaranya 2,000 tumbuhan berbunga, 123 spesies mamalia, 305 spesies burung dan lebih 20,000 serangga dan invertebrata… penyelidikan secara berterusan dilakukan untuk kenal pasti lebih banyak biodiversiti di sini," katanya yang berasal dari Bintangor.

Selain itu, Jason berkata setakat ini, 10 spesies flora dan enam spesies fauna endemik telah dikenal pasti dan hanya dapat ditemukan di Mulu, menjadikan ekosistemnya bernilai dari segi pemuliharaan.

Katanya pengiktirafan Taman Negara Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO turut membawa cabaran tersendiri, khususnya sewaktu musim cuaca baik antara Mac hingga Oktober yang menyaksikan peningkatan jumlah pelancong.  

"Kadang-kadang agak sukar untuk pastikan semua pelawat patuhi peraturan taman. Kami perlu pantau setiap kumpulan, beri taklimat awal dan hadkan saiz kumpulan semasa lawatan," jelasnya.

Namun, semua itu bukan penghalang bagi pengunjung yang mahu menyaksikan keunikan jutaan kelawar berterbangan keluar dari Gua Rusa ketika senja, atau menjelajah sistem gua batu kapur yang menakjubkan di dalam perut bumi Taman Negara Mulu.

pic-5

Terletak jauh di pedalaman utara Borneo, Taman Negara Mulu bukan sahaja lambang kekayaan biodiversiti dan keajaiban geologi, tetapi juga mencerminkan cara hidup masyarakat pedalaman yang berakar dalam warisan serta alam.

Sebagai seorang yang bukan berasal dari Sarawak serta kali pertama menjejakkan kaki di Mulu, terdetik persoalan dalam benak penulis saat menelusuri sungai dan mendengar cerita penduduk - adakah dalam 20 atau 30 tahun akan datang pengangkutan air di sini masih relevan? Atau, mungkinkah arus kemajuan perlahan-lahan menghakis keindahan asli yang selama ini membentuk jiwa Borneo.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan