AM

JBPM SEDIA TINGKAT KEUPAYAAN JIKA LOJI NUKLEAR DIBINA DI MALAYSIA

04/08/2025 01:33 PM

KUCHING, 4 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia mempertingkatkan keupayaan anggota dan kelengkapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cadangan pembinaan loji nuklear di negara ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata bomba telah bersiap siaga dari segi latihan asas pendedahan radioaktif menerusi 17 Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) melibatkan 429 anggota di seluruh negara.

“Teknologi pembinaan loji nuklear dan sistem pencegahan kebakarannya kini sudah matang dan tertakluk kepada piawaian antarabangsa serta amalan terbaik sedia ada.

“Apa yang penting ialah pihak industri perlu menyediakan kelengkapan pemantauan seperti dosimeter dan alat pengesanan kepada pasukan bomba di kawasan sekitar loji,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba 2024 di sini hari ini.

Nor Hisham berkata tahap keselamatan dalaman reaktor akan bergantung kepada pelan lokasi serta reka bentuk akhir loji dan JBPM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menyusun pelan kontingensi yang komprehensif.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan melaksanakan projek tenaga nuklear di Semenanjung Malaysia dan Sabah berikutan keperluan tenaga tetap yang tinggi di kedua-dua wilayah itu.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata faktor kesesuaian lokasi berhampiran sumber air seperti sungai, laut atau tasik besar menjadi antara pertimbangan utama dalam kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan bagi sistem penyejukan loji nuklear.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan