KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sasaran 3.6 peratus pertumbuhan produktiviti buruh setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah realistik dan memerlukan pelaksanaan bersepadu seiring dengan usaha menempatkan negara dalam kelompok 12 teratas Indeks Daya Saing Dunia (IMD) menjelang 2030.
Peningkatan produktiviti buruh merupakan landasan utama kepada pertumbuhan ekonomi mampan, pengukuhan gaji munasabah dan daya tahan industri dalam menghadapi tekanan kos yang semakin tinggi di peringkat global.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Zahid Ismail berkata kenaikan kos global yang didorong oleh gangguan rantaian bekalan, kekurangan tenaga kerja dan perubahan struktur ekonomi menuntut pendekatan bersifat struktural dan sistemik.
“Meningkatkan produktiviti ialah jalan terbaik untuk memastikan ketahanan ekonomi, kestabilan harga dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebagai langkah awal, MPC melaksanakan Program Akademi Dalam Industri (ADI) bagi merapatkan jurang antara pendidikan dan kemahiran selaras dengan keperluan industri selain membangunkan Jejak Indikator Daya Saing Negara, iaitu satu analisis bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam dasar, peraturan dan amalan yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR).
“Pendekatan ini telah mula dilaksanakan sejak tahun lepas dan menyumbang secara signifikan kepada lonjakan 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam laporan WCR 2025.
“Pendekatan ini diteruskan dalam membantu pembuat dasar bertindak lebih pantas dan tepat bagi melaksanakan penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara secara berterusan,” katanya.
Zahid berkata MPC juga merancang untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan kementerian, agensi dan sektor swasta, terutama melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan 14 Pasukan Nexus Produktiviti, agar setiap inisiatif pembaikan yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan terhadap produktiviti buruh.
-- BERNAMA