IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di KM 372.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Slim River hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River bergegas ke lokasi sejauh 10 kilometer.
"Berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan telur ayam yang dinaiki empat orang iaitu seorang pemandu dan tiga kelindan merempuh bahagian belakang sebuah lori treler muatan simen kampit yang diparkir di tepi jalan.
"Kedua-dua mangsa yang menaiki lori muatan telur ayam berusia lingkungan 20-an telah tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata mangsa yang cedera ringan berusia 40 dan 30 tahun dihantar ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan manakala mayat kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata operasi tamat sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.
-- BERNAMA