KUANTAN, 4 Ogos (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh yang bukan sekadar semakan ‘kosmetik’, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah.
Baginda bertitah dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin mencabar dan menggugat prinsip syariah, sudah tiba masa peruntukan undang-undang Islam di Pahang digubal secara lebih mendalam serta selari dengan lima prinsip utama maqasid syariah, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Al-Sultan Abdullah bertitah setiap peruntukan baharu mesti mencerminkan realiti masyarakat Islam kontemporari serta menjawab keresahan umat dengan penuh hikmah dan ketegasan serta disokong oleh mekanisme penguatkuasaan yang tersusun dan menyeluruh.
“Saya melihat terdapat keperluan untuk memperkukuh struktur dan keupayaan pasukan penguat kuasa daripada pelbagai aspek termasuklah latihan berterusan, peningkatan sumber manusia, kemudahan logistik dan teknologi sokongan.
“Hal ini bagi memastikan peruntukan enakmen yang digubal tidak hanya tinggal tulisan semata-mata, tetapi benar-benar dikuatkuasakan secara adil dan profesional sesuai dengan tuntutan maqasid syariah,” titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ke-196 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Sementara itu, Sultan Pahang bertitah institusi fatwa di Pahang perlu terus berlandaskan ilmu, autoriti dan prinsip ijtihad yang sahih berdasarkan al-Quran, sunah, Ijma’ dan Qiyas serta mempertimbangkan kepentingan ummah secara menyeluruh.
Baginda bertitah Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak negeri perlu diperkasakan supaya fatwa yang dikeluarkan menjadi pedoman diyakini dan dihormati bukan sekadar warta yang dipandang sepi.
“Saya tidak mahu ada segelintir pihak memperlekehkan atau mempertikaikan fatwa yang sah, hanya kerana kurangnya kejelasan atau ketegasan daripada pihak berautoriti,” titah Al-Sultan Abdullah.
Dalam pada itu, baginda turut menyarankan sebuah Jawatankuasa Auditor Kewangan Masjid ditubuhkan di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi memastikan pengurusan kewangan masjid di seluruh negeri dilaksanakan secara telus, profesional dan berintegriti.
Baginda bertitah kewangan masjid yang sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan dan derma masyarakat perlu diuruskan dengan penuh amanah dan tanggungjawab, sejajar dengan kepercayaan yang diberikan oleh umat Islam.
Pada mesyuarat itu, Sultan Pahang turut menzahirkan harapan supaya institusi pendidikan Islam di negeri ini, khususnya Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang terus diperkasakan sebagai teras penting pembentukan insan rabbani yang berilmu, berakhlak serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
-- BERNAMA