DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN PELABUR MENGAMBIL UNTUNG PADA SAHAM WAJARAN TINGGI

04/08/2025 07:08 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin apabila pelabur mengambil keuntungan pada saham berwajaran tinggi terpilih, susulan kenaikan tinggi pada Jumaat.

Bagaimanapun, pengumuman baru-baru ini mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) boleh meningkatkan keyakinan pasaran dalam masa terdekat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.37 mata atau 0.42 peratus untuk ditutup pada 1,526.98 berbanding 1,533.35 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras, yang dibuka 3.07 mata lebih rendah pada 1,530.28, bergerak dalam julat antara 1,522.96 dan 1,530.28 sepanjang sesi dagangan. 

Pasaran lebih meluas adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 584 berbanding 390, manakala 479 kaunter tidak berubah, 1.037 kaunter tidak diniagakan dan 11 kaunter digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.63 bilion unit berjumlah RM1.94 bilion daripada 3.16 bilion unit bernilai RM2.23 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI masih dalam fasa penyatuan mengikuti momentum meningkat yang kukuh, kerana pelabur masih menyesuaikan diri dengan isyarat makroekonomi global yang berkembang.

“Kaunter utiliti dan perbankan mengalami tekanan, menyumbang kepada penurunan sederhana indeks. Kami melihatnya sebagai perubahan pendekatan strategik dan bukannya pengelakan risiko yang lebih meluas,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Sedek mengekalkan prospek konstruktif, didorong oleh persekitaran yang optimistik berikutan pengumuman RMK13 baru-baru ini, yang meletakkan asas bagi pembaharuan struktur jangka panjang.

“Pengurangan tarif perdagangan AS telah meredakan ketidaktentuan geopolitik dan mendorong persekitaran makro yang lebih stabil bagi ekuiti Malaysia.

“Kami juga menjangkakan pasaran akan mengambil kira prospek pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan datang,” katanya.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM9.54, Public Bank turun lima sen kepada RM4.24, Tenaga Nasional merosot 14 sen kepada RM13.16, CIMB berkurang empat sen kepada RM6.75, manakala IHH Healthcare menaik dua sen kepada RM6.70.

Bagi kaunter paling aktif,  Trive Property menokok setengah sen kepada 1.5 sen, manakala Inari Amertron turun 14 sen kepada RM1.99, Magma berkurang tiga sen kepada 38.5 sen, Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 87 sen, dan Tanco merosot dua sen kepada 82 sen.

Saham untung tertinggi termasuk Nestle, yang melonjak RM1.18 kepada RM88.98, Fraser & Neave menambah 38 sen kepada RM29, Petronas Gas naik 24 sen kepada RM18.12, dan Ralco Corp menokok 14.5 sen kepada RM1.11. 

Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut 46 sen kepada RM19.88, Hong Leong Bank turun 24 sen kepada RM18.90, dan Petronas Dagangan berkurang 20 sen kepada RM21.42.

Bagi pasaran yang lebih meluas, Indeks FBM Emas susut  52.51 mata kepada 11,472.82, Indeks FBMT 100 menguncup 52.03 mata kepada 11,233.60, dan Indeks FBM Emas Shariah susut 47.55 mata kepada 11,493.21.

Indeks FBM 70 merosot 99.61 mata kepada 16,614.26, manakala Indeks FBM ACE meningkat 5.00 mata kepada 4,629.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 115.64 mata kepada 17,364.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 1.12 mata lebih rendah pada 158.02, Indeks Perladangan susut 0.52 mata kepada 7,370.45, dan Indeks Tenaga merosot 9.81 mata kepada 739.79.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurang kepada 1.51 bilion unit berjumlah RM1.73 bilion berbanding 1.97 bilion unit berjumlah RM1.98 bilion pada Jumaat.

Jumlah waran merosot kepada 824.19 juta unit bernilai RM117.88 juta berbanding 895.32 juta unit bernilai RM143.46 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah Pasaran ACE meningkat kepada 290.27 juta unit berjumlah RM97.82 juta daripada 289.60 juta unit berjumlah RM108.93 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 192.04 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (195.89 juta), pembinaan (154.55 juta), teknologi (245.39 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.55 juta), hartanah (201.98 juta), perladangan (22.81 juta), REIT (32.68 juta), dana tertutup (2,700), tenaga (198.14 juta), penjagaan kesihatan (119.63 juta), telekomunikasi dan media (32.24 juta), pengangkutan dan logistik (32.54 juta), utiliti (34.92 juta), dan amanah perniagaan (144,300).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan