DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH SUSULAN PENGELUARAN MENINGKAT

04/08/2025 10:12 PM

Oleh K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran di peringkat domestik dan paras inventori dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran turut terkesan dengan harga minyak kacang soya yang rendah sekali gus memberikan tekanan menurun kepada MSM.

“Kami melihat harga MSM menerima paras sokongan melebihi RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM menyusut kepada paras terendah dalam tempoh 16 hari apabila peniaga menjual dalam keadaan unjuran stok yang semakin merosot dan penurunan dalam pasaran minyak sayuran berkaitan.

"Penurunan dalam minyak kacang soya di Chicago Mercantile Exchange pada Jumaat turut memberikan tekanan kepada niaga hadapan minyak sawit di Bursa MalaysiaDerivatif," katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Ogos susut RM27 kepada RM4,166 satu tan manakala kontrak September 2025 berkurangan RM52 kepada RM4,174 satu tan dan Oktober 2025 merosot RM58 kepada RM4,187 satu tan.

Sementara itu, November 2025 susut RM63 kepada RM4,200 satu tan, Disember 2025 rendah RM65 kepada RM4,214 satu tan dan Januari 2026 berkurangan RM68 kepada RM4,223 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 72,995 lot hari ini daripada 71,301 pada Jumaat manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 221,839 kontrak daripada 224,913.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan berkurangan RM30 kepada RM4,200 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan