JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK LELAKI DITEMUKAN MAUT DALAM LUBANG PEMBETUNG DI SIBU

04/08/2025 10:14 PM

SIBU, 4 Ogos  (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang sistem pembetungan di Jalan Pedada di sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata susulan satu panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 6.29 petang, sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral tiba di lokasi empat minit kemudian.

"Setibanya pasukan penyelamat di lokasi kejadian, bapa mangsa memaklumkan anak lelakinya hilang dan dipercayai terjatuh ke dalam lubang akses sistem pembetungan. Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan.

"Pada 6.55 petang, mangsa ditemukan di dalam pembetung dan dibawa naik lima minit kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan