KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dinobatkan sebagai Penyedia Takaful Terbaik pada Majlis Anugerah The BrandLaureate BestBrands 2025, sekali gus meraikan ulang tahun ke-15 dengan kecemerlangan berteraskan matlamat, semangat dan prestasi.
GETB dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah itu disampaikan dalam satu majlis yang diadakan di Singapura pada 31 Julai, yang mengiktiraf syarikat itu sebagai jenama dipercayai, diyakini dan komited dalam menawarkan penyelesaian takaful berteraskan nilai yang mudah difahami serta boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Sebagai satu daripada pengiktirafan paling berprestij dalam dunia penjenamaan, anugerah ini melambangkan keunggulan, nilai dan kepimpinan sesebuah jenama dalam industri.
“Ia juga mengiktiraf usaha berterusan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan yang memfokuskan pelanggan, diperkasa dengan inovasi digital yang meningkatkan kelajuan, kecekapan dan memastikan sokongan yang berterusan di setiap saluran perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman berkata syarikat berasa amat berbesar hati menerima pengiktirafan itu, yang mencerminkan komitmen teguh pasukan dalam menyampaikan penyelesaian takaful yang menyeluruh, berpandukan teras matlamat, semangat dan prestasi.
“Great Eastern Takaful akan terus memperjuangkan misi untuk membolehkan masyarakat saling membantu pada saat yang memerlukan.
“Dengan keyakinan setiap individu berhak mendapat perlindungan kewangan, kami akan terus mencipta penyelesaian takaful yang inklusif bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, tahap pendapatan atau peringkat kehidupan,” katanya.
Dengan meneruskan pemerkasaan terhadap komuniti sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan, Great Eastern Takaful mengintegrasikan elemen kelestarian dan literasi kewangan dalam strategi perniagaan mereka, bagi menyumbang kepada pembangunan negara dan memastikan nilai jangka panjang kepada komuniti yang disasarkan.
“Ketika Great Eastern Takaful meraikan pencapaian ini, kami akan terus melangkah maju sebagai penyedia takaful keluarga yang dipercayai di Malaysia, dengan penyampaian perlindungan penuh bersemangat, berserta matlamat dan komitmen yang tidak berbelah bahagi ke arah kecemerlangan,” katanya.
Dilancarkan pada 2010, Great Eastern Takaful komited dalam menyediakan produk perlindungan takaful keluarga yang komprehensif yang memberi perlindungan kesihatan dan kewangan patuh syariah dalam usaha merapatkan jurang perlindungan dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40).
-- BERNAMA