KAJANG, 5 Ogos (Bernama) -- Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kementeriannya tidak mahu terlibat dalam polemik berhubung kes kematian remaja perempuan itu, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Apabila ada insiden berlaku, kertas siasatan dibuka. Setelah selesai, kertas siasatan itu diserahkan kepada Peguam Negara. Proses itu kita kena hormat … kalau kita kata sudah selesai pun belum tentu sempurna.
"Saya tidak mahu berada dalam polemik sempurna (atau) tidak sempurna kertas siasatannya. Kita beri ruang kerana polis telah jalankan (siasatan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program i-DEEN anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan membuka semula siasatan termasuk daripada keluarga dan badan bukan kerajaan berhubung kematian Zara Qairina.
Saifuddin Nasution berkata orang ramai perlu memberikan ruang kerana polis telah menjalankan siasatan.
"Kalau belum siap (siasatan) orang akan kata kenapa lambat sangat? Apabila dah siap, (timbul pula soalan) oh kenapa terlalu cepat? (Kononnya) ada lagi kelemahan, segala macam. Ia tidak akan pernah selesai," katanya.
Saifuddin Nasution berkata sekiranya Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis, ia prosedur biasa kerana berkemungkinkan terdapat kecacatan yang perlu diperkemas.
Beliau berkata proses itu merupakan lumrah dalam proses siasatan antara polis dengan Peguam Negara bagi memastikan setiap aspek lengkap sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan, terutama kes yang mendapat perhatian ramai.
Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina hari ini mendakwa wujud kelemahan serius dalam laporan siasatan yang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, mereka menyifatkan skop siasatan terlalu kecil dan fokusnya terhad, dengan beberapa aspek penting diketepikan oleh pihak berkuasa.
Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah kegagalan menjalankan bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina sebelum proses pengebumian dijalankan.
Mengenai pusingan kerja, Saifuddin Nasution berkata langkah itu merupakan proses biasa dalam perkhidmatan awam yang bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mengukuhkan integriti penjawat awam.
Katanya, langkah itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama diamalkan dalam perkhidmatan awam sebagai sebahagian daripada pengurusan sumber manusia.
“Pusingan kerja antara kaedah yang dikenal pasti berkesan untuk mengurangkan atau mengatasi isu-isu integriti. Di KDN kami terbuka dengan pendekatan ini,” katanya.
-- BERNAMA