KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji kemungkinan memperkasakan syarat-syarat lokalisasi kepada pelabur asing bagi mewujudkan ekosistem berdaya tahan di Malaysia supaya syarikat-syarikat tempatan mendapat limpahan hasil.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata langkah itu bertujuan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat melalui pelaburan domestik dan asing yang baharu, dalam usaha membina syarikat Malaysia sebagai syarikat multinasional (MNC).
“Perlu ada perubahan pemikiran kerana selama ini syarikat-syarikat kecil dan PMKS dianggap hanya mampu menyokong gergasi korporat syarikat multinasional (MNC) asing.
“Pemikiran baharu itu meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia dan potensi mereka untuk menjadi MNC berasaskan teknologi yang mampu memainkan peranan besar di persada dunia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang meminta maklumat mengenai status dan keberkesanan rundingan antara Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengenai pelaksanaan tarif timbal balik.
Wee juga meminta Liew menyatakan jaminan kerajaan susulan tempoh ketidakpastian itu supaya ia tidak akan menjejaskan perdagangan, rantaian bekalan dan sektor PKS di Malaysia.
Menurut Liew, kerajaan yakin bahawa langkah-langkah awal yang telah dilaksanakan dan perancangan mitigasi yang rapi, dapat mengurangkan impak negatif pelaksanaan tarif timbal balas oleh AS ke atas Malaysia secara khusus.
“MITI bersama agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut mengambil langkah-langkah mitigasi bagi menangani impak tarif timbal balas dengan mempelbagaikan pasaran eksport negara.
“Ia dilaksanakan dengan meneroka destinasi baharu di pasaran bukan tradisional dan memperkukuh rangkaian eksport produk Malaysia, terutamanya ke negara-negara pasaran baharu yang sedang pesat membangun di Asia Tengah, Asia Selatan, Timur Tengah, Benua Afrika dan ASEAN,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan kedudukan Malaysia sebagai negara destinasi penting dalam rantaian bekalan, beliau berkata kerajaan komited untuk meningkatkan daya tahan negara dengan mewujudkan syarikat teknologi tempatan dalam sektor strategik seperti semikonduktor.
Kerajaan juga, katanya, komited untuk menerajui usaha transformasi syarikat tempatan berbanding hanya sebagai pengeluar tahap penyumberluaran ‘Buatan Malaysia’ (Made in Malaysia) kepada tahap ‘Dibuat dengan Teknologi Malaysia’ (Made by Malaysia).
“MITI bersama Kementerian Kewangan juga akan memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) pada suku ketiga tahun ini untuk pelaburan dan aktiviti bernilai tinggi bagi memastikan semua pelaburan memberi manfaat seperti pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia, dan membangunkan ekosistem serta teknologi syarikat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA