ALOR SETAR, 6 Ogos -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap 11 warga asing di Kompleks Imigresen, Kuarantin, Kastam dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini, semalam.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan penguatkuasaan diambil selepas kesemua individu tersebut didapati telah melakukan pelbagai kesalahan dan gagal mematuhi syarat kemasukan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua individu yang ditolak masuk ini terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita yang merupakan warga Bangladesh, Thailand, India dan Sri Lanka.
“Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa, mereka diarahkan untuk segera berpatah balik ke negara asal melalui pintu masuk yang sama,” katanya.
AKPS memaklumkan pihaknya memandang serius setiap percubaan memasuki negara tanpa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi kemudahan imigresen negara.
Menurutnya tindakan tegas tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan AKPS untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan sempadan negara daripada sebarang bentuk ancaman.
“AKPS akan terus memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan hanya pelawat asing yang sah dan memenuhi syarat dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA