BERITA TERGEMPAR   Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | 
 AM

PEMODENAN ASET STRATEGIK ANTARA ISU DIBINCANGKAN PM ANWAR, PTU

06/08/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Agenda pemodenan aset strategik ketenteraan menjadi antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris di Perdana Putra hari ini.

Perdana Menteri, yang menerima kunjungan hormat Muhamad Norazlan, turut membincangkan tahap kesiapsiagaan pertahanan udara negara termasuk keperluan memperkukuh keupayaan teknologi dalam sistem pertahanan yang semakin mencabar dan canggih.

“Kerajaan MADANI akan terus memberi perhatian dan sokongan terhadap usaha memperkukuh keselamatan serta mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu, beliau turut menitipkan pesan agar Tentera Udara Diraja Malaysia kekal sebagai angkatan yang disegani di peringkat serantau sepanjang kepimpinan Muhamad Norazlan sebagai PTU.

Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai PTU ke-21 menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, yang menamatkan perkhidmatan pada 26 Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan