SIBU, 6 Ogos (Bernama) -- Semua pihak berkuasa berkaitan digesa mengambil langkah segera dan proaktif bagi mengelakkan berulang insiden menyayat hati yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun akibat terjatuh ke dalam lubang pembetung tidak tertutup di sini kelmarin.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata kejadian yang berlaku di Jalan Dr Wong Soon Kai itu menzahirkan kebimbangan lama berkaitan isu keselamatan awam melibatkan penutup lurang yang hilang atau tidak dipasang dengan betul.
“Saya amat sedih dan terkesan dengan insiden menyayat hati ini. Bagi pihak kementerian dan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa dalam detik sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiang menegaskan tindakan segera perlu diambil tanpa mengira sama ada infrastruktur berkenaan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan atau agensi persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya menggesa semua pihak berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Sibu (MPS), JKR Bahagian Sibu dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu untuk menjalankan tinjauan serta pemeriksaan menyeluruh di kawasan masing-masing dan segera menggantikan penutup lurang yang hilang atau rosak,” katanya.
Katanya beliau sendiri telah menghubungi Pengerusi MPS, Jurutera Bahagian JKR Sibu serta jurutera JPS Sibu bagi mengadakan tindakan segera dan penyelarasan menyeluruh berkaitan isu berkenaan.
“Keselamatan awam tidak boleh sesekali dikompromi,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan mencuri dan menjual logam buruk secara haram, termasuk penutup lurang.
“Insiden ini menjadi peringatan menyedihkan kepada kita semua bahawa keselamatan persekitaran adalah tanggungjawab bersama. Jadikan ia titik perubahan untuk kita memperkukuh keprihatinan serta kerjasama antara semua pihak agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber, mangsa dipercayai keluar dari kereta untuk mencari bapanya yang sedang mengutip barangan terpakai sebelum terjatuh ke dalam lubang pembetung yang terbuka.
Mangsa ditemukan terapung oleh pihak bomba pada 6.55 petang, kira-kira setengah jam selepas laporan kecemasan diterima.
-- BERNAMA