EKONOMI

TOPCON LANCAR HAB LATIHAN PERTAMA ASIA TENGGARA DI SHAH ALAM

06/08/2025 07:08 PM

SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Topcon Positioning Asia (Malaysia) Sdn Bhd (Topcon Malaysia) telah melancarkan pusat latihan pertamanya di Asia Tenggara, iaitu Pusat Latihan Topcon Malaysia (TMTC), satu pelaburan strategik bagi memacu transformasi digital dalam sektor pembinaan dan infrastruktur di rantau ini.

Pengarah Topcon Malaysia Vincent Lai berkata pusat latihan yang akan menerapkan sistem lanjutan dalam kurikulumnya, bakal memodenkan keupayaan tenaga kerja tempatan, sekali gus menunjukkan komitmen syarikat untuk menyokong matlamat Malaysia dalam Pelan Strategik Pembinaan 4.0.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkepentingan dalam industri dan institusi teknikal yang berkongsi komitmen kami untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pembinaan pintar di rantau ini.

“Dengan sokongan berterusan daripada anda, kami akan meningkatkan piawaian industri ini, memacu inovasi, dan membina masa depan berdaya tahan, dipacu teknologi bagi persekitaran industri pembinaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian TMTC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata dan Presiden Topcon Corporation Takashi Eto. 

Sementara itu, Ng berkata TMTC merupakan langkah penting dalam membina ekosistem bakat yang kompetitif dan berprestasi tinggi di Malaysia, dengan Selangor berada di barisan hadapan, selain mengeratkan hubungan antara Selangor dan Jepun.

Beliau berkata Selangor terus menerajui usaha untuk memupuk persekitaran perniagaan yang berdaya saing. 

“Selangor menerajui dalam kejayaan perniagaan di negara ini, dengan 75.9 peratus daripada syarikat Jepun di negeri ini melaporkan keuntungan, jauh melebihi purata kebangsaan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa daripada lebih 1,600 syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia, sebanyak 696 daripadanya berpangkalan di Selangor, termasuk gergasi industri seperti Panasonic, Toyota, Hitachi dan NTT.

“Tumpuan dalam perniagaan global oleh Selangor bukan sahaja memacu ekonomi kami tetapi turut meningkatkan inovasi dan mewujudkan peluang pekerjaan,” kata Ng.

Berpangkalan di Shah Alam, TMTC ditubuhkan bagi memenuhi keperluan jurutera, juruukur, pengendali mesin, penyelia tapak, pasukan teknikal sektor awam, selain pelajar vokasional dan teknikal dengan menawarkan kemudahan latihan praktikal yang berteraskan bidang ukur tanah dan pembinaan.

Modul latihan komprehensifnya merangkumi teknologi pembinaan digital, termasuk latihan praktikal dalam pengukuran, kawalan mesin, pemodelan tapak 3D dan pengurusan data menggunakan perisian serta perkakasan terbaharu milik Topcon.

Selain itu, latihan itu turut mengintegrasikan teknologi kedudukan canggih seperti Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) dan 'total station' ke dalam aliran kerja sebenar pembinaan, bagi membantu pekerja profesional meningkatkan ketepatan serta kecekapan operasi. 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan