EKONOMI

KEWANGAN ISLAM PERLU BERUBAH UNTUK TERUS BERDAYA SAING -- CEO BURSA MALAYSIA

07/08/2025 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Pertumbuhan kewangan Islam akan dipacu menerusi keterhubungan yang lebih besar merentasi kelas aset, geografi dan generasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad’l Mohamed.  

Beliau berkata, pertumbuhan itu juga bukan sekadar pematuhan berikutan anjakan generasi dalam demografi pelabur membawa masuk pelabur muda yang celik digital serta mementingkan nilai.

Katanya, pelabur masa kini tertarik kepada penawaran yang mengutamakan digital, seiring dengan nilai dan terdedah kepada kelas aset digital yang sedang muncul termasuk instrumen bertoken.

“Perubahan ini menggesa kita semua iaitu bursa, pengawal selia, pengurus aset dan para cendekiawan  untuk bekerjasama bagi memastikan kewangan Islam kekal relevan dan berdaya saing, bukan sahaja dari segi apa yang diwakilinya, tetapi juga dari segi bagaimana ia berkembang untuk memenuhi keperluan pasaran dan pelabur yang semakin berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan di Persidangan Invest Shariah 2025 di sini hari ini.

CGS International Securities Malaysia dan Bursa Malaysia bersama-sama menganjurkan persidangan berkenaan yang bertemakan “Inovasi Kewangan Islam: Membuka Potensi Pelaburan Global.”

 Fad’l berkata, pasaran modal Islam Malaysia kekal antara yang paling maju di dunia, didukung oleh peraturan yang kukuh, rangka kerja syariah yang berwibawa serta asas penerbit dan pelabur yang pelbagai.

Sehingga akhir April 2025, pasaran modal Islam Malaysia bernilai RM2.56 trilion mewakili 63 peratus daripada jumlah saiz pasaran modal domestik sebanyak RM4.04 trilion.

Beliau turut berkata, permodalan pasaran syariah berjumlah RM1.3 trilion atau 66.1 peratus daripada permodalan pasaran bursa saham sebanyak RM1.9 trilion setakat akhir Julai.

Fad’l juga menjelaskan iaitu purata nilai dagangan harian (ADV) patuh syariah mencapai RM1.6 bilion atau 64.4 peratus daripada keseluruhan ADV sebanyak RM2.4 bilion dan 860 atau 81 peratus daripada 1,065 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan patuh syariah.

Aset kewangan Islam global pula melebihi US$5 trilion tahun lepas, meningkat 12 peratus daripada 2023 dan berkembang 43 peratus sejak 2020.

Menjelang 2028, industri ini dijangka mencapai US$7.5 trilion, mencerminkan permintaan yang semakin bertambah untuk kewangan patuh syariah merentasi pasaran dan kelas aset.

Sementara itu, CEO CGS Malaysia Azizah Mohd Yatim berkata Malaysia mempunyai rangka kerja selain ekosistem menyeluruh yang mantap serta diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk pasaran modal Islam dengan kepelbagaian dan keluasan produk, aset serta instrumen syariah untuk mengembangkan produk dan penyelesaiannya ke peringkat serantau serta global.

Katanya, pasaran modal Islam dan instrumen syariah menyediakan pendekatan asas berasaskan nilai yang boleh dipercayai oleh pelabur dan perniagaan.

Jelasnya, ini amat penting dalam persekitaran masa kini selain permintaan yang semakin meningkat merupakan bukti kepada kenyataan tersebut.

“CGS Malaysia menjadi broker pertama di Malaysia yang melancarkan Nota Pelaburan Berkait Ekuiti Islam dan Nota Pelaburan Berstruktur Ekuiti Boleh Panggil Automatik (Autocallable) Islam iaitu produk berstruktur untuk pelabur sofistikated.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan melancarkan produk perjanjian pembelian semula Islam di Malaysia serta Pembiayaan Margin Alam Sekitar, Mampan dan Tadbir Urus (ESG)-i di Singapura dan Indonesia,” katanya.

Secara global, 80 peratus aset industri kewangan Islam masih tertumpu di lima pasaran iaitu Iran, Arab Saudi, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Sementara itu, persidangan sepanjang hari berkenaan menampilkan perbincangan panel dan sesi perbualan santai merangkumi pengukuhan aliran modal antara Asia dan Timur Tengah, peningkatan ekuiti persendirian dan modal teroka dalam pasaran modal Islam serta peranan perubahan digital dalam membentuk semula produk pelaburan patuh syariah.

Para penceramah juga meneroka bagaimana pasaran modal Islam boleh menjadi pemacu pertumbuhan terangkum dengan menekankan peluang yang muncul dalam teknologi kewangan (fintech), pelaburan pelbagai aset, integrasi ESG dan penerbitan sukuk.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan