AM

ANWAR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT MENTERI PEMBANGUNAN PERALATAN SURUHANJAYA KETENTERAAN PUSAT CHINA

07/08/2025 02:19 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China Jeneral Xu Xueqiang di sini.

Anwar berkata pertemuan itu membincangkan perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang terus kukuh, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan.

“Malaysia menghargai kerjasama erat dengan China dalam aspek keselamatan termasuk latihan bersama, selain menekankan kepentingan kolaborasi dalam teknologi strategik,” katanya menerusi hantaran media sosial rasminya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap peranan konstruktif yang dimainkan China dalam isu-isu serantau, termasuk usaha gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta sokongan berterusan dalam menangani krisis di Myanmar.

"Saya menzahirkan rasa hormat kepada kepimpinan tertinggi China dan menantikan peluang untuk bertemu Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang awal bulan depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan