EKONOMI

PEMBAHARUAN PERLU JADI SEBAHAGIAN PENDEKATAN ASEAN HARUNGI KEJUTAN GLOBAL - TENGKU ZAFRUL

07/08/2025 04:13 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menggesa supaya pembaharuan struktur terus dilaksanakan di peringkat nasional dan ASEAN memandangkan rantau ini mesti kekal kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.

Beliau berkata terdapat nilai dalam kesediaan untuk berdialog dengan semua rakan yang sehaluan serta dalam mendukung prinsip tidak berpihak.

ASEAN kekal utuh dalam menghadapi cabaran “Hari Pembebasan” dan secara umumnya telah melaksanakan perkara yang perlu sebagai sebuah rantau, pada tempat dan masa yang penting, katanya.

“Proses pempelbagaian dan penyepaduan ekonomi mesti diteruskan. Pembaharuan juga mesti terus dilakukan kerana, setelah semuanya diperkatakan dan dilaksanakan, pasaran ASEAN yang mempunyai 680 juta penduduk merupakan sumber yang amat bernilai untuk membantu kita mengharungi era yang terpecah-pecah ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Dasar Awam PRAXIS 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata tarif yang dikenakan menjadi cabaran kepada perpaduan dan kepaduan ASEAN, namun blok ini tetap berpegang kepada pendekatan tidak membalas.

Tengku Zafrul berkata Malaysia tidak menghadapi situasi itu dengan pendirian nasional atau serantau yang terpecah walaupun berada dalam keadaan yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Walaupun rundingan itu tidak mudah, kita memperoleh hasil yang terbaik yang boleh dicapai, iaitu perjanjian yang dapat menangani isu kebimbangan besar dalam perdagangan dua hala Amerika Syarikat (AS)-Malaysia, di samping mempertahankan kepentingan negara dan perkara asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata pasaran AS kekal penting, namun kini melalui fasa apabila perdagangan berasaskan peraturan semakin kurang jelas, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan yang mungkin berpanjangan sehingga kepada generasi akan datang.

Tarif yang dikenakan turut menimbulkan persoalan yang sukar mengenai model ekonomi negara itu, katanya.

“Walaupun perubahan terbaik bukan semestinya perubahan yang paling drastik, kita mungkin perlu mengadakan perbincangan yang mendalam dan jujur mengenai hala tuju kita dan perkara yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia kekal fokus dalam melaksanakan pelan transformasi utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang menggalakkan inovasi, keterangkuman dan daya tahan jangka masa panjang.

Malaysia telah menandatangani dan melaksanakan sembilan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala dan sembilan FTA serantau, sejajar dengan komitmen negara terhadap sistem perdagangan global yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan, katanya.

Ini termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), antara perjanjian perdagangan terbesar dunia.

Malaysia juga sedang merundingkan FTA dengan Kesatuan Eropah (EU), Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan Korea Selatan.

“Kejayaan dasar-dasar ini akan membantu perbincangan serantau, mengenai cara ASEAN boleh membina institusi yang lebih kukuh dan ekonomi yang lebih saling terhubung, bukan kerana mencurigai tetapi dari sudut kekuatan dan keyakinan bersama,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Tengku Zafrul berkata Malaysia telah membentangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), dengan lebih separuh daripada sasaran berkaitan perdagangan telah dicapai, termasuk pemuktamadan rundingan bagi menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Bidang Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).

“Perjanjian yang dinaik taraf ini, yang dijangka ditandatangani pada Oktober, akan memperluas kerjasama kepada sektor perkhidmatan, e-dagang dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam usaha menjadikan ASEAN sebagai blok ekonomi yang lebih kohesif,” katanya.

Tengku Zafrul turut merujuk kepada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang akan datang serta cadangan Malaysia mengenai Rangka Kerja ASEAN mengenai Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS) sebagai langkah penting seterusnya bagi rantau ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan