JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Penguatkuasaan sepenuhnya ke atas premis yang diwajibkan memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) akan bermula pada suku pertama 2026, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Othman.
Beliau berkata premis yang gagal mematuhi kewajipan berkenaan selepas tarikh itu akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
"Premis yang masih gagal memiliki FC selepas penguatkuasaan penuh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) peringkat negeri di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pengarah JBPM Johor Siti Rohani Nadir.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperketat aspek keselamatan kebakaran premis ditetapkan yang melibatkan sembilan kategori premis iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama dan dormitori, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan dan storan.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 9,321 premis telah ditetapkan di seluruh negara sebagai premis wajib FC dengan 5,881 premis sudah memiliki sijil berkenaan.
“Johor mencatatkan bilangan tertinggi dengan 2,288 premis dikategorikan sebagai premis ditetapkan dan perlu mempunyai FC yang wajib diperbaharui setiap tahun.
"Johor menunjukkan pertumbuhan tinggi kerana banyak pembangunan baharu. Setiap premis yang menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan perlu mendaftar untuk FC," katanya.
Ahmad Izram berkata 2025 digunakan sebagai tahun pendidikan dan kesedaran, termasuk penganjuran seminar serta sesi latihan kepada pemilik premis.
JBPM turut memperkenalkan konsep pengaturan sendiri menerusi penubuhan OKK di semua premis ditetapkan yang diwajibkan mempunyai seorang Pengurus Keselamatan Kebakaran dan tiga Pegawai Keselamatan Kebakaran.
“Mereka ini akan dilatih oleh JBPM bermula hujung tahun ini, supaya bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab mereka menjelang penguatkuasaan tahun hadapan.
“Kegagalan pihak premis menubuhkan OKK ini secara tidak langsung akan menyebabkan FC tidak dapat dikeluarkan, “katanya.
-- BERNAMA