KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Semua pemimpin negara anggota ASEAN bersetuju supaya Malaysia terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi sempat menghubungi semua pemimpin negara ASEAN sebelum menerima kunjungan hormat delegasi Thailand dan Kemboja yang hadir di Kuala Lumpur bagi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di sini.
Saifuddin Nasution berkata semua pemimpin atau ketua negara ASEAN yang dihubungi mendukung dan menyokong peranan yang dimainkan Malaysia dalam konflik melibatkan dua negara berjiran itu.
"Kesemuanya setuju bahawa mekanisme bilateral yang dibuat sekarang adalah memadai buat masa ini, sambil kita bersetuju bahawa akan ada pusingan seterusnya selepas mesyuarat hari ini," katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat berkenaan hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
-- BERNAMA