AM

SKMM BEKERJASAMA DENGAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI TUBUH KOPERASI KARIAH MASJID

07/08/2025 06:13 PM

MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjalin kerjasama erat dengan majlis agama Islam di setiap negeri dalam usaha menggalakkan penubuhan koperasi kariah masjid di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Azam Sulaiman berkata usaha itu giat dilaksanakan memandangkan sehingga kini, hanya 657 daripada lebih 6,000 masjid di seluruh negara telah menubuhkan koperasi kariah dengan 30 peratus daripadanya di Melaka yang antara negeri terkedepan dalam perkara ini.

"Di negeri lain, gerakan penubuhan koperasi masih perlahan tetapi di Pahang agak aktif dengan sokongan daripada kerajaan negeri dan pihak istana.

"Di SKM kita memang ada pegawai ditempatkan di peringkat daerah dan mereka akan bekerjasama dengan pegawai agama di kawasan terlibat untuk mempromosi, memberi pendedahan dan kefahaman tentang keperluan menubuhkan koperasi di setiap kariah masjid," katanya pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Sementara itu, Azam berkata penubuhan koperasi kariah masjid penting bagi membantu meningkatkan ekonomi ahli kariah menerusi pelbagai bidang perniagaan sekali gus memperkukuh ekonomi masyarakat Islam.

Beliau berkata selain pendekatan secara promosi, SKM turut melancarkan Buku Garis Panduan Pendaftaran Koperasi Kariah Masjid dan Surau Negeri Melaka yang boleh diguna pakai di negeri lain sebagai rujukan dan memudahkan kefahaman ahli kariah masjid yang masih belum menubuhkan koperasi itu.

"Panduan ini merupakan antara inisiatif SKM dalam memastikan penubuhan dan pendaftaran koperasi kariah masjid berjalan lancar dan sistematik sekali gus menarik minat lebih banyak kariah masjid menubuhkan koperasi," katanya.

Azam berkata pada konvensyen itu juga, kerajaan Melaka menyerahkan cek cura Bantuan Pembangunan Ekonomi Koperasi Kariah Masjid Negeri Melaka sebanyak RM100,000 kepada SKM negeri.

Beliau berkata peruntukan itu bertujuan membantu koperasi kariah masjid meningkatkan keupayaan mereka melaksanakan aktiviti perniagaan dan sehingga kini, sebanyak 13 koperasi terlibat telah menerima manfaat berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan