KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan seorang bekas ketua menteri Datuk Seri G. Gnanaraja yang mengalami kecederaan di tangan dan mulut akibat kejadian samun berkumpulan semalam, akan memohon perlindungan rasmi di bawah program perlindungan saksi.
Peguamnya Datuk RT Rajasekaran berkata pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada polis bagi perlindungan rasmi itu, sementara siasatan penuh dijalankan berhubung insiden serangan ke atas anak guamnya itu.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kami bimbang ia mempunyai kaitan dengan peranan anak guam saya sebagai saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berlangsung di mahkamah.
“Kami percaya pihak polis akan menjalankan tugas dengan profesional dan kami menyeru agar tiada spekulasi atau naratif awal dibuat sebelum siasatan selesai sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Gnanaraja memohon agar polis memberikan perlindungan secukupnya kepada keluarganya mengambil kira ugutan yang diterimanya semasa kejadian serangan yang berlaku ke atas dirinya.
Beliau berkata dalam kejadian sekitar 6.30 pagi semalam, sekumpulan individu bertopeng bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya semasa beliau hendak keluar pergi berkerja.
“Seorang daripada individu yang menceroboh masuk ke rumah telah melibas parang ke arah mulut dan tangan saya, serta memberi ugutan supaya jangan buka mulut dan tidak jadi hero. Dalam kejadian itu terdapat juga beberapa barang peribadi telah dibawa lari oleh mereka.
“Saya baru saja memberi keterangan sebagai saksi pada 22 Julai lepas dan dijadualkan akan menyambung keterangan pada 19 Ogos ini, berkaitan kes melibatkan bekas ketua menteri. Selepas kejadian itu, saya dan keluarga kini berada dalam ketakutan,” katanya sambil memaklumkan beliau telah menerima rawatan serta lima jahitan di tangan kiri di sebuah hospital swasta.
Selain itu, Gnanaraja turut meminta pihak polis menjalankan siasatan penuh dan telus berhubung insiden tersebut.
Semalam, polis mengesahkan kecederaan di tangan dan mulut dialami seorang ahli perniagaan adalah akibat kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor dan tiada kaitan dengan kes mahkamah itu.
Sementara itu, isteri kepada Gnanaraja Datuk G. Geethajali berkata berikutan kejadian yang menimpa suaminya, beliau dan keluarga berada dalam ketakutan selain turut memohon agar mereka mendapat perlindungan daripada pihak polis kerana bimbang akan keselamatan mereka sekeluarga.
Beliau berkata dia menyaksikan sendiri kejadian itu, apabila suaminya telah digertak, tangannya ditetak dan mulutnya ditumbuk sehingga berdarah serta dilibas dengan parang, selain pergelangan tangan suaminya dikelar sehingga menerima lima jahitan.
Ditanya mengenai barangan yang hilang, wanita itu enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan polis dan beliau juga baru selesai memberi keterangan.
“Banyak perkara berlaku semalam yang tidak boleh saya dedahkan di sini kerana ia akan mengganggu siasatan,” katanya semasa sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga itu.
Ditanya jika mereka sekeluarga pernah mengalami insiden sedemikian, Geethajali berkata hanya dua kejadian berlaku di kejiranan itu dalam tempoh 10 tahun, namun tidak melibatkan kediamannya.
-- BERNAMA