Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis, didorong oleh peningkatan permintaan daripada pelabur yang mencari perlindungan dalam logam berharga itu, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga itu turut disokong oleh langkah bank pusat China menambah pegangan emas sebanyak 60,000 auns troy pada Julai, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 73.96 juta auns troy.
Perkembangan ini mencerminkan peningkatan minat terhadap emas sebagai aset pelaburan selamat berikutan ketidaktentuan mengenai tarif perdagangan Amerika Syarikat.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 naik kepada US$3,410.50 setiap auns troy ketika ditutup pada Rabu, September 2025 menokok kepada US$3,416.2 setiap auns troy daripada US$3,387.00 semalam.
Sementara itu, kontrak Oktober 2025 naik kepada US$3,444.90 setiap auns troy daripada US$3,415.70 sebelumnya dan November 2025 melonjak kepada US$3,462.30 setiap auns troy daripada US$3,433.10.
Kontrak Disember 2025, Februari 2025 dan April 2026 semuanya ditutup tinggi pada US$3,480.20 setiap auns troy berbanding US$3,451.00 semalam.
Jumlah dagangan susut kepada 24 lot daripada 25 lot semalam, manakala kepentingan terbuka naik kepada 51 kontrak daripada 50 sebelum itu.
Harga emas fizikal pula berada pada paras US$3,372.00 setiap auns troy berdasarkan penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 6 Ogos, 2025.
-- BERNAMA