ALOR SETAR, 7 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Kedah yang memasuki hari ketiga hari ini berlangsung meriah dengan sambutan orang ramai selain penyertaan pelajar sekolah di beberapa daerah.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Kedah Nurazila Azizan berkata konvoi itu bermula pada Selasa lepas setelah menerima jalur gemilang daripada JAPEN Pulau Pinang di C-Mart Serai Wangi, Padang Serai, Kulim.
“Konvoi KMJG 2025 Peringkat Kedah ini melibatkan lima hentian, dan untuk hari ini adalah hentian yang ketiga. Masih ada dua lagi hentian pada esok di Sik dan Baling.
“Sepanjang konvoi, kami turut singgah di beberapa destinasi yang ada tarikan pelancongan dan Alhamdulillah sambutan masyarakat setempat amat menggalakkan.
“Misalnya, sebentar tadi sebelum kami bergerak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar, pelajar-pelajar sekolah rendah dan juga anak-anak prasekolah menyambut kami di sepanjang perjalanan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pada hari terakhir esok, Konvoi KMJG 2025 Peringkat Kedah akan bergerak ke daerah Sik yang akan melibatkan satu hentian iaitu di Felda Teloi Timur sebelum ke hentian terakhir daerah Baling.
“Pada hentian terakhir di Baling, insya-Allah kami bakal disambut oleh masyarakat Orang Asli di sana… ini adalah kelainan kerana sebelum ini kami pergi ke kawasan yang melibatkan kaum Melayu, Cina dan India, tapi esok agak istimewa kerana kami tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli.
“Kami nak mereka sama-sama dapat meneruskan dalam jiwa mereka semangat cintakan negara dan menghormati Jalur Gemilang,” katanya.
Nurazila berkata konvoi yang terdiri daripada lapan kenderaan daripada pelbagai agensi serta 12 motosikal berkuasa tinggi itu seterusnya akan bergerak ke Pengkalan Hulu, Perak untuk menyerahkan baton konvoi kepada JAPEN Perak.
-- BERNAMA