DUNIA

MALAYSIA ANJUR SAMBUTAN HARI ASEAN KE-58 DI CYBERJAYA

07/08/2025 09:38 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Sambutan Hari ASEAN sempena ulang tahun ke-58 penubuhan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) esok.

Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar memaklumkan bahawa sambutan bertemakan "Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Mampan" itu selari dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Acara akan berlangsung di Cyber Event Hall, Cyberjaya dan dijangka menghimpunkan lebih 700 tetamu dari seluruh komuniti ASEAN.

“Sambutan tahun ini memberi peluang tepat pada masanya untuk menonjolkan kemajuan dan perpaduan ASEAN, di samping menyerlahkan kepimpinan Malaysia dalam memacu agenda serantau yang berteraskan rakyat dan berpandangan jauh,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan berkenaan, manakala Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut akan hadir.

Sambutan akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (PERMATA Seni), termasuk tarian rakyat tradisional dan persembahan koir yang mencerminkan kepelbagaian budaya serantau.

Negara anggota ASEAN juga akan mempamerkan seni tradisional, kraf tangan dan barangan masing-masing melalui reruai pameran kebangsaan.

Kementerian berkata sambutan ini melambangkan komitmen bersama ASEAN terhadap kerjasama serantau, perpaduan dan keamanan, serta menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk mendekatkan ASEAN kepada rakyat dan memimpin rantau ini ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan