AM

FESTIVAL LIFE MOVES 2025 SMC BAWA PERKHIDMATAN KESIHATAN TERAS KEPADA ORANG RAMAI

07/08/2025 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC) telah menganjurkan Festival Life Moves 2025 buat pertama kali dengan jayanya pada Rabu, dengan penyertaan lebih 2,000 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat yang proaktif terhadap tahap kesihatan mereka.

Festival yang berlangsung di lobi Menara C & D di SMC itu, bertujuan membawa perkhidmatan kesihatan teras ke dalam suasana komuniti terbuka, dengan menawarkan saringan dan penilaian kesihatan secara percuma termasuk pemeriksaan glukosa darah dan kolesterol, analisis komposisi badan serta ujian air kencing dilaksanakan profesional perubatan SMC yang memberikan konsultasi dan panduan kesihatan, dengan peserta menerima nasihat kesihatan secara terus.

“Penyakit kardiovaskular dan kanser kekal sebagai penyumbang utama kepada kematian pramatang, dengan banyak kes hanya dikesan pada peringkat lewat, menjadikan intervensi awal semakin penting,” menurut kenyataan SMC.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata dalam kebanyakkan kes, pengesanan awal dan pengurusan yang berkesan dapat meningkatkan hasil rawatan pesakit, serta mengawal perkembangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

“Menerusi program ini, kami menggalakkan masyarakat untuk mengambil serius mengenai kesihatan mereka, tanpa rasa takut. Kadangkala, langkah pertama sekadar mengetahui tahap kesihatan diri dan tindakan awal serta kebertanggungjawaban mampu memperkukuh sistem penjagaan kesihatan dan memberi manfaat kepada negara dalam jangka panjang,” katanya.

Antara tarikan utama dalam festival tersebut ialah Pameran Interaktif “Jantungku”, iaitu satu pengalaman pelbagai deria yang membawa pengunjung menjelajah sistem kardiovaskular, menarik perhatian pengunjung semua peringkat umur dan berperanan sebagai peringatan berkesan mengenai bagaimana pilihan gaya hidup harian memberi kesan langsung kepada kesejahteraan jangka panjang.

Festival ini turut menampilkan stesen permainan bertemakan kesihatan dan aktiviti praktikal untuk ibu bapa dan anak-anak, sementara pengunjung beli-belah di Vibrant Health Marketplace.

Festival Life Moves 2025 menzahirkan usaha berterusan SMC dalam menjadikan penjagaan kesihatan pencegahan lebih mudah diakses orang ramai dan kejayaan ini didorong kerjasama kukuh pasukan penjagaan kesihatan SMC dan rakan-rakan strategik utama, yang menyumbang kepada impak serta jangkauan festival ini.

Sebagai hospital kuartener swasta terbesar di Malaysia, SMC terus menetapkan penanda aras baharu dalam penjagaan kesihatan canggih dan mudah diakses. SMC merupakan hospital swasta pertama di negara ini yang memperoleh tiga akreditasi utama iaitu Joint Commission International (JCI) dari Amerika Syarikat, Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).

SMC juga diiktiraf sebagai hospital terbaik Malaysia dan tersenarai antara 250 hospital terbaik dunia dalam senarai World’s Best Hospitals oleh Newsweek bagi tahun 2024 dan 2025. Hospital itu turut mengukuhkan lagi kedudukannya dengan merangkul gelaran Hospital of the Year (Malaysia) buat kali keempat berturut-turut di Healthcare Asia Awards 2025.

Ketika ini, SMC menawarkan lebih daripada 60 kepakaran perubatan merentasi 28 Pusat Kecemerlangan dengan 810 katil berlesen dan akan mempunyai kapasiti untuk berkembang kepada lebih 1,100 katil apabila Blok keenamnya - Menara F (Pavilion Kanak-Kanak) siap sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan