KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan anak syarikat perbankan global, MUFG Bank (Malaysia) Bhd menjalin kerjasama strategik untuk memacu pelaburan bernilai tinggi di Malaysia.
Menurut MIDA, memorandum persefahaman (MoU) itu memberi tumpuan kepada menarik pelaburan global dalam sektor semikonduktor, bahan kimia khusus, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, kenderaan elektrik, sektor digital dan teknologi hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menekankan peranan kerjasama ini dalam memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–Jepun.
“Pakatan strategik ini akan giat mempromosikan peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan kompetitif dengan memudah cara pelaburan dua hala.
“Dengan memanfaatkan ekosistem dan rangkaian perniagaan kita yang luas, kami menggalakkan usaha sama dan kerjasama strategik antara syarikat Malaysia dan Jepun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata MIDA dan MUFG Malaysia akan turut bekerjasama menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang mesra pelabur Jepun, termasuk melalui acara dan aktiviti capaian yang menyokong penglibatan bersama.
Menurut MIDA, kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi hab inovasi terkemuka di Asia Tenggara, sejajar dengan tempoh penting untuk transformasi ekonomi negara terutamanya selepas pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 minggu lepas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara Malaysia MUFG Motohide Okuda berkata MoU itu mencerminkan visi bersama untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan memanfaatkan rangkaian globalnya bagi menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat global dan Jepun serta terus menyumbang kepada pembangunan mampan dan kejayaan jangka panjang Malaysia.
-- BERNAMA