KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kelab Motosikal BERNAMA boleh menjadi platform untuk mendekatkan agensi berita itu dengan masyarakat selain mengeratkan ukhuwah antara petugasnya melalui hobi “dua roda, satu jiwa”.
Presiden baharunya Amrizan Madian berkata untuk tahun ini, kelab itu telah merancang beberapa program termasuk mengibar Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia serta kembara destinasi bersejarah ke seluruh negara.
Beliau berkata selain itu, program kunjungan kasih kepada ahli-ahli kelab ditimpa kemalangan juga akan dilakukan sebagai tanda keprihatinan kelab berkenaan.
“Kami bukan sekadar kelab motosikal, kami ialah satu keluarga dan dalam Kelab Motosikal BERNAMA kami lebih menekankan kepada ukhuwah antara ahli kelab daripada segala-galanya,” katanya di sini hari ini.
Setakat ini, Kelab Motosikal BERNAMA mempunyai 60 ahli sejak ditubuhkan secara rasmi pada 31 Ogos 2023 dan menyasarkan peningkatan bilangan keahlian kepada 100 orang menjelang hujung tahun ini.
Sejak penubuhannya, kelab berkenaan telah mengadakan beberapa program kembara seperti melawat makam Mat Kilau di Jerantut, Pahang, sambutan ulang tahun kelab di Janda Baik, Pahang dan beberapa lagi siri jelajah ke Kota Bharu di Kelantan; Kuantan, Pahang dan di sekitar Selangor.
Selain Amrizan, barisan kepimpinan Kelab Motosikal BERNAMA turut dibarisi Kamal Azudin Md Yussof sebagai Timbalan Presiden, Muhammad Muzammil Abdullah (Setiausaha), Nor Hafifee Mahamad Nasir (Timbalan Setiausaha), Abdul Azim Abdul Rahman (Bendahari) dan Mohd Adnan Othman (Timbalan Bendahari).
Sementara itu, Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad dilantik sebagai Ketua Biro Komersial, Tajulzaman Zainudeen (Biro CSR), Mustapha Kamal (Ketua Hal Ehwal Ahli), Mohd Pizziarul Harzad Ismail (Timbalan Ketua Hal Ehwal Ahli) selain pelantikan Ahli Jawatankuasa, iaitu Sheikah Faidzal Akhbar, Suherman Anuar, Mohd Aliff Hassan dan Mazani Mohd Yusoff.
-- BERNAMA