EKONOMI

HARGA EMAS DIJANGKA NAIK 10 PERATUS MENJELANG SEPTEMBER

08/08/2025 07:10 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah and Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Harga emas diunjurkan terus naik sebanyak 10 peratus lagi pada September, daripada paras semasa didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS).

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) Datuk Seri Louis Ng yakin bahawa logam berharga itu berpotensi untuk terus meningkat berikutan jangkaan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara dolar AS dan Ringgit Malaysia akan merangsang permintaan. 

“Ketika ini, harga emas berada pada sekitar US$3,370 seauns, meningkat sebanyak 28 peratus daripada US$2,630 pada awal tahun, sebahagian besarnya disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.

“Jika dilihat pada corak harga, ia bergerak secara mendatar dalam tempoh tiga bulan lepas, dan saya menjangkakan akan berlaku satu lonjakan harga selepas Fed mengumumkan pemotongan kadar faedahnya, yang dijangka berlaku sekitar September,” katanya kepada Bernama dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV semalam.

Ng yang juga Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd ketika ditanya sama ada perang Rusia-Ukraine, konflik antara AS dan Israel terhadap Iran serta perang perdagangan AS-China memberi kesan terhadap permintaan emas sebagai aset pelaburan selamat, Ng berkata momentum daripada konflik tersebut kini “sudah mula mereda.”

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa satu-satunya faktor utama yang dijangka menyumbang kepada lonjakan harga emas adalah pemotongan kadar faedah oleh Fed.

“Berdasarkan jangkaan itu, harga selepas September boleh meningkat lagi sekitar 10 peratus, iaitu kira-kira US$300 hingga US$400 seauns daripada harga semasa. Kemungkinan untuk ia meningkat sangat tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan