MELAKA, 8 Ogos (Bernama) -- Teknologi terkini di Loji Pelupusan Sisa Klinikal kendalian Medivest Sdn Bhd di Bukit Rambai di sini dilihat mampu menangani pertambahan jumlah sisa klinikal di zon selatan yang dijangka meningkat sehingga 40 peratus menjelang 2030.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peningkatan tersebut susulan pertambahan fasiliti kesihatan awam dan swasta di negeri ini serta Negeri Sembilan dan Johor.
“Seiring dengan perkembangan teknologi perubatan yang semakin kompleks, jumlah sisa klinikal turut menunjukkan peningkatan ketara saban tahun sekali gus menuntut kepada kemudahan pelupusan yang lebih cekap dan lestari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Loji Pelupusan Sisa Klinikal Medivest tersebut di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Medivest Abdullah Hashim.
Ab Rauf berkata sejak mula beroperasi pada 2022, loji berteknologi tinggi itu telah melupuskan 15,389 tan sisa klinikal secara selamat dan sistematik dengan sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 3.3 tan sisa klinikal direkodkan dilupuskan berbanding tiga tan pada tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata loji bernilai RM30 juta itu bukan sahaja dilengkapi teknologi sistem pelupusan terkini tetapi turut berfungsi sebagai pusat pemindahan teknologi dan pendedahan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.
“Ia mampu melupuskan sehingga 20 tan sisa klinikal sehari, bersamaan 6,200 tan setahun, sekali gus menjadikan Melaka sebagai Hab Pengurusan Sisa Klinikal Wilayah Selatan yang diyakini mampu menarik keyakinan pelabur dan pelancong kesihatan ke negeri ini,” katanya.
"Dalam masa sama peningkatan tersebut menjadi indikator bahawa keperluan terhadap loji berskala besar dan efisien amat diperlukan di samping melambangkan pendekatan pintar dan moden dalam pengurusan sisa klinikal di 23 hospital yang ada di rantau selatan," katanya.
Beliau berkata loji tersebut mampu menguruskan enam kategori sisa berjadual menjadikannya antara fasiliti pelupusan paling komprehensif di negara ini di samping turut melaksanakan inisiatif sistem tenaga solar yang mampu menjana 250 MWh setahun dengan menjimatkan kos RM135,000 serta mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 195 tan setahun.
“Kami juga bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam membangunkan teknologi kitar semula abu insinerator sebagai bahan gantian konkrit, seiring matlamat ‘sifar sisa ke tapak pelupusan’ iaitu satu usaha memastikan semua sisa yang dihasilkan akan diproses dan diguna semula secara optimum bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar," katanya.
--BERNAMA