MELAKA, 8 Ogos (Bernama) -- Penduduk Melaka yang tersenarai dalam inisiatif Kampung Digital disarankan agar segera menukar alamat pada kad pengenalan mereka secara percuma bermula 1 Ogos lepas hingga 31 Dis ini.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Mohd Dzulkarnain Baharuddin berkata setakat ini hampir 1,400 penduduk terlibat telah melakukan proses berkenaan yang melibatkan penggantian kad pengenalan di pejabat pendaftaran cawangan atau daerah berhampiran.
"Berdasarkan data berkenaan, masih ramai penduduk terlibat inisiatif Kampung Digital belum menukar alamat baharu pada kad pengenalan dan mereka disaran berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan agar tiada bayaran dikenakan.
"Penukaran alamat baharu itu penting khususnya bagi memudahkan urusan mereka dengan jabatan kerajaan berdasarkan alamat digital yang telah diberikan sekali gus menyokong agenda Kampung Digital," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 Jabatan Pendaftaran Negeri Melaka melibatkan penyertaan hampir 100 kakitangan dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta orang awam di Kompleks Kementerian Dalam Negeri.
Mengulas lanjut, Mohd Dzulkarnain berkata bagi memudahkan urusan penduduk, JPN Melaka turut turun padang ke Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di kawasan terlibat inisiatif Kampung Digital menerusi perkhidmatan van Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
"Dalam masa terdekat ini, perkhidmatan tersebut akan disediakan di Dataran Keris sempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri Alor Gajah pada 16 Ogos ini," katanya.
Beliau berkata perkhidmatan van Mekar itu juga akan ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai khususnya di pusat beli-belah agar akses penukaran alamat pada kad pengenalan penduduk dapat segera diselesaikan.
Kampung Digital ialah projek rintis kerajaan Melaka bagi memudahkan proses pengesanan alamat dalam usaha memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada rakyat pada peringkat akar umbi.
Menerusi inisiatif itu, sebanyak 657 kampung akan melalui proses transformasi digital apabila kediaman mereka dilengkapkan dengan alamat baharu serta diberikan kod respons pantas (kod QR) bagi memudahkan pengesanan alamat.
-- BERNAMA