Daripada Norsyafawati Ab Wahab
OSAKA (Jepun), 9 Ogos (Bernama) -- ASEAN telah menyatakan kesediaannya untuk menaik taraf perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Jepun, sekali gus memaparkan hasrat membawa perjanjian itu seiring dengan era ekonomi moden.
Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Satvinder Singh berkata keperluan mendesak serta kesempatan untuk memberi nafas baharu terhadap Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN–Jepun (AJCEP) yang dimeterai pada 2008, juga sejajar dengan realiti ekonomi pada masa ini.
“Perjanjian FTA Jepun dengan ASEAN yang ada sekarang telah dimeterai puluhan tahun lepas. Oleh itu, saya sendiri bersetuju bahawa inilah masa yang sesuai (untuk dinaik taraf), sepertimana (tindakan) kita dengan beberapa rakan dialog utama,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Expo 2025 Osaka di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Satvinder turut merujuk kejayaan ASEAN mengemas kini perjanjian ekonomi dengan China, Australia, New Zealand dan India, baru-baru ini yang turut memasukkan elemen penting baharu seperti e-dagang, inovasi, daya tahan rantaian bekalan global dan kemampanan.
“Jepun juga perlu menjadi antara keutamaan ASEAN dalam tahun-tahun mendatang. Di pihak ASEAN sendiri, kita sememangnya sudah bersedia untuk melakukan libat urus apabila Jepun sedia berbuat demikian,” katanya.
Satvinder berkata keperluan menaiak taraf FTA sedia itu menjadi lebih penting pada masa ini berikutan terdapat pelbagai cabaran serta gangguan geoekonomi.
“Bagi saya, pempelbagaian keperluan Jepun sendiri di pentas antarabangsa hanya menjadikan ASEAN antara rakan utama yang menepati strategi dan kepentingan Jepun, terutama dalam menyokong rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata ini termasuk minat ketara syarikat-syarikat Jepun yang berhasrat meneliti semula pendekatan dalam usaha menjalankan perniagaan di rantau ASEAN.
Sementara itu, Tengku Zafrul menyifatkan Expo 2025 Osaka sebagai platform yang tepat untuk ASEAN mengetengahkan bukan setakat identiti blok itu, tetapi juga kepelbagaian serta perpaduan perkumpulan berkenaan kepada komuniti global.
“Kita juga teruja untuk menyambut kehadiran Jepun ke Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada September ini serta Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada Oktober (nanti).
“Saya juga percaya dialog berterusan ini dapat menjadi saluran membina kepercayaan yang seterusnya membentuk ASEAN yang lebih mantap untuk Asia serta generasi masa depan,” katanya.
-- BERNAMA