DUNIA

RINGGIT DIJANGKA DINIAGAKAN BERHATI-HATI BERBANDING DOLAR AS MINGGU DEPAN

09/08/2025 10:29 AM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pelabur memantau perkembangan luar, khususnya impak tarif AS.

Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Investment Bank Bhd berkata ringgit dijangka mendapat sokongan daripada kestabilan ekonomi domestik serta prestasi dolar AS yang lebih lemah.

“Cadangan Presiden Donald Trump mengenakan cukai ke atas cip dan farmaseutikal dijangka menjejaskan lagi sentimen terhadap aset berisiko. Pada masa sama, pelabur memantau tekanan ke atas perkumpulan BRICS dan tanda-tanda ketegangan dalam rundingan perdagangan AS-China.

“Langkah dasar Trump yang pantas serta tajuk utama media terus mencetuskan ketidaktentuan pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, bank pelaburan itu berkata ringgit diniagakan lebih tinggi pada minggu ini dalam julat 4.23-4.24 berbanding dolar AS susulan pengumuman laporan data pekerjaan AS yang lebih lemah daripada jangkaan awal sehingga menurunkan nilai mata wang negara maju berkenaan.

Bagi asas perbandingan  Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengakhiri urus niaga minggu dengan mengukuh berbanding dolar AS apabila ditutup pada paras 4.2420/2480 berbanding 4.2750/2815 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Pada Jumaat, ringgit susut nilai berbanding yen Jepun kepada 2.8720/8763 daripada 2.8407/8452 dalam minggu sebelumnya, rendah berbanding pound Britain kepada 5.7034/7114 daripada 5.6208/6293 dan turun berbanding euro kepada 4.9381/9451 daripada 4.8752/8826.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3014/3064 daripada 3.2907/2960 pada akhir minggu lepas, turun berbanding baht Thailand kepada 13.1173/1419 daripada 13.0058/0319, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 260.3/260.8 daripada 258.8/259.4 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.44 daripada 7.35/7.36 dalam minggu lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan